Cubaan seludup 3,000 telur penyu gagal

Cubaan seludup 3,000 telur penyu gagal

SANDAKAN, 10 Nov – Jabatan Hidupan Liar Sandakan hari ini merampas lebih 3,000 biji telur penyu yang cuba diseludup keluar menggunakan perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bas Sandakan, Bandar Letat Jaya dekat sini.

Pegawai Hidupan Liar Daerah itu Hussein Muin berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 8 pagi berhubung tiga kotak kiriman yang dipercayai mengandungi telur penyu.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati telur penyu berkenaan cuba dihantar ke Kota Marudu melalui perkhidmatan kiriman sebuah bas ekspres bagi perjalanan Sandakan ke Kudat.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan mengenai rampasan ini. Meskipun tiada rekod pengirim, tetapi kita ada menerima maklumat mengenai penerima,” katanya di sini.

Anggota Jabatan Hidupan Liar memeriksa kotak mengandungi lebih 3,000 biji telur penyu yang dirampas selepas cuba diseludup keluar menggunakan perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bas Sandakan, Bandar Letat Jaya. – Bernama
Anggota Jabatan Hidupan Liar memeriksa kotak mengandungi lebih 3,000 biji telur penyu yang dirampas selepas cuba diseludup keluar menggunakan perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bas Sandakan, Bandar Letat Jaya. – Bernama

Beliau berkata rampasan kali ini adalah yang pertama direkodkan bagi cubaan menyeludup keluar telur penyu dengan menggunakan pengangkutan awam.

Menurutnya jabatan itu percaya ini adalah modus operandi pihak tidak bertanggungjawab bagi memasarkan telur penyu di kawasan Pantai Barat.

Hussein berkata kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan dipenjarakan tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih lima tahun. – Bernama