Cubaan seludup barang kawalan dipatahkan

Cubaan seludup barang kawalan dipatahkan

SANDAKAN, 2 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Sandakan (DM 17) menahan sebuah bot nelayan yang membawa pelbagai barang kawalan disyaki untuk diseludup ke Filipina, kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Bakungan Kecil, semalam.

Kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan OP Pluto Timur pada 1 petang telah memeriksa sebuah bot dari Sandakan menuju ke Pulau Bakungan Besar, Filipina selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim DM 17, Kapten Maritim A. Razak Abd Rahman berkata seorang tekong berumur 48 tahun dan seorang awak-awak berumur 15 tahun telah diperiksa dan disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot, kami menjumpai beberapa bungkus beras, minyak masak, gula, tepung gandum, tiga tong gas LPG dan empat gelen berisi minyak petrol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata bot nelayan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1963.

Katanya bot dan awak-awak telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat DM 17 untuk tindakan lanjut.

A. Razak berkata pihaknya akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.

Beliau meminta agar komuniti maritim juga dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi DM 17 di talian 089-229504 atau talian MERS 999. – Bernama