Cubaan seludup beras, rokok

Cubaan seludup beras, rokok

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151014_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Seorang lelaki tempatan diberi tempoh sehingga 1 Oktober 2016 untuk membayar denda $20,640 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua kesalahan cubaan menyeludup beras dan rokok.

Mahdzidi bin Morsidi/Morshidi, 43, didakwa cuba mengeksport 20 guni beras wangi tanpa kebenaran ke negara jiran pada 16 Jun 2013 kira-kira jam 3:40 petang.

Defendan ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah apabila pegawai kastam yang bertugas menemui guni-guni beras berkenaan disembunyikan di bawah lapik kaki penumpang depan dan belakang serta dalam but kereta.

Defendan mengaku kesemua guni beras yang telah dirampas itu miliknya dan dia berniat untuk menjualnya di Tamu Limbang pada harga RM$38 seguni.

Untuk pertuduhan kedua, defendan didakwa memiliki 32 karton rokok yang tidak diisytiharkan pada 21 Mei 2014 sekitar jam 4:05 petang apabila kereta yang dipandunya ditahan oleh pegawai kastam dan narkotik di Pos Kawalan Kuala Lurah.

Pemeriksaan menemui rokok-rokok itu disembunyikan di bahagian enjin dan di bawah tempat duduk penumpang depan. Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu di Limbang pada harga $262.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memerintahkan defendan membayar denda tersebut dalam tempoh yang diberikan atau berdepan 16 bulan penjara, jika gagal membayar.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki tempatan turut menerima hukuman denda berjumlah $10,800 atas kesalahan memiliki 30 karton rokok yang tidak diisytiharkan.

Abu Sofian bin Musa, 37, didakwa memiliki rokok itu ketika kereta yang dipandunya ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 5 April 2015 kira-kira jam 5 petang.

Rokok-rokok itu ditemui disimpan dalam beg plastik hitam di lapik kaki penumpang depan dan belakang. Defendan mengaku kesemua rokok itu miliknya.

Pemangku Majistret Kanan memberi tempoh lapan bulan kepada defendan untuk membayar denda atau berdepan 10 bulan penjara jika gagal membayarnya.

ARTIKEL YANG SAMA