Cubaan seludup dadah dipatahkan

Cubaan seludup dadah dipatahkan

SEPANG, 5 Sept – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan penyeludupan 5.05 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM227,250 serta menahan seorang lelaki warga negara India.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 9 pagi pada 27 Ogos setelah tiba dari Chennai, India dan imbasan terhadap bagasinya menampakkan imej yang meragukan.

“Pemeriksaan ke atas bagasi suspek mendapati ia diisi dengan selendang, pakaian wanita dan empat kotak makanan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan serbuk putih yang disembunyikan di dalam bagasi pada bahagian bawah lapisan dalam beg,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini hari ini.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk Chik Omar Chik Lim (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah jenis ketamin seberat 5.05 kilogram bernilai RM227,250 yang disembunyikan di dalam bagasi kepada pemberita ketika sidang media di Kompleks Kastam KLIA kelmarin. – Bernama

Beliau berkata empat kotak makanan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian lanjut. Chik Omar berkata siasatan lanjut mendapati suspek memasuki Malaysia sebanyak dua kali pada tahun ini dan kali pertama beliau memasuki Malaysia pada Julai dan berada di Malaysia selama seminggu.

Suspek direman selama tujuh hari ini dan dilanjutkan empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA