Cubaan seludup daging harimau dipatahkan

Cubaan seludup daging harimau dipatahkan

BANGKOK, 13 Nov (Agensi) – Pihak berkuasa Thailand semalam menahan dua lelaki yang cuba menyeludup masuk daging harimau untuk dijadikan hidangan di restoran di bandar ini.

Dua lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta ketika pemeriksaan di daerah Mae Sot di wilayah Tak, berhampiran sempadan Myanmar.

Ketika pemeriksaan polis menemui daging harimau dan beberapa organ haiwan itu yang diletakkan di dalam bekas ais.

Kedua-dua suspek mengaku dibayar untuk membawa daging harimau berkenaan dari Myanmar ke sebuah restoran di Bangkok.

Jurucakap polis berkata, pihaknya mengesan individu yang mengupah suspek berkenaan dan lokasi restoran yang memesan daging haiwan berkenaan.

Pihak berkuasa menyiasat di mana haiwan itu dibunuh kerana terdapat beberapa taman perlindungan haiwan di kawasan sempadan.

Harimau sering diburu dan dijadikan hidangan eksotik yang mewah di restoran di Thailand, kononnya kerana mempunyai pelbagai khasiat.