Cubaan seludup dipatahkan

Cubaan seludup dipatahkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Polis Marin, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Biro Kawalan Narkotik dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Kementerian Hal Ehwal Ugama di perairan Putat dan Pulau Chermin pada 5 Ogos lalu berjaya membuat dua tangkapan serta merampas 20 kartun rokok dan peralatan dadah.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan berkata, hasil operasi tersebut pihak berkuasa telah berjaya menahan sebuah perahu jenis penambang sepanjang panjang 19 kaki, menggunakan enjin 50 kuasa kuda jenis Yamaha yang didapati membawa 20 karton rokok pelbagai jenis.

Seorang pemandu berumur 23 tahun warga tempatan turut ditahan manakala barang rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei untuk tindakan lanjut.

Polis berkata, pada hari yang sama pihak berkuasa yang menjalankan operasi tersebut juga telah berjaya menahan sebuah perahu jenis fiberglass sepanjang 29 kaki, menggunakan dua enjin jenis Yamaha.

Seorang penumpang perahu berkenaan berumur 48 tahun, warga tempatan didapati memiliki peralatan menghisap dadah dan kes tersebut diambil oleh pihak Biro Kawalan Narkotik.

Operasi Bersepadu itu bukan sahaja sebagai langkah pro aktif pencegahan kejadian jenayah atau kegiatan berunsur jenayah yang berlaku di perairan Negara Brunei Darussalam tetapi juga bertujuan untuk mengesan kesalahan-kesalahan yang berhubung-kait dengan perlesenan, pendaftaran dan penggunaan perahu.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak Keselamatan Maritim di negara ini untuk menjaga keselamatan perairan Negara Brunei Darussalam dalam mencegah dan membanteras aktiviti-aktiviti jenayah yang menyalahi undang-undang negara,” kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA