Cubaan seludup masuk digagalkan

Cubaan seludup masuk digagalkan

NARATHIWAT, 25 Ogos (Bernama) – Pegawai Imigresen Narathiwat berjaya menahan seorang anggota rangkaian pemerdagangan manusia dan lima warga Myanmar yang mahu menyeludup masuk ke Malaysia pada awal pagi tadi.

Ketua Imigresen ke-6 di Narathiwat, Mejar Jeneral Polis Thajchai Piktanilabut berkata, pihaknya mendapat maklumat perisikan mengenai sekumpulan warga Myanmar yang bersembunyi di sebuah rumah di Mukim Pasir Mas, Sungai Golok di sempadan Kelantan.

Sehubungan itu polis menyerbu rumah berkenaan dan menahan lima lelaki warga Myanmar berumur antara 19 dan 25 tahun.

Ditemui bersama mereka ialah lima beg dan dokumen kemasukan ke Thailand yang sudah tamat tempoh.

Selain warga Myanmar terbabit, pihak imigresen menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun yang menjaga rumah tersebut, untuk disoal siasat.

Lelaki warga Thailand itu memberitahu polis bahawa rumah berkenaan dijadikan tempat persinggahan warga Myanmar yang akan diseludupkan ke Malaysia oleh dua orang ejen pemerdagangan manusia.

Katanya, warga Myanmar itu akan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan tikus di sempadan Thailand-Malaysia.

Mereka kini ditahan di Balai Polis Sungai Golok sebelum dipindahkan ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk pembicaraan.

ARTIKEL YANG SAMA