Cubaan seludup rokok berjaya dipatahkan

Cubaan seludup rokok berjaya dipatahkan

SANDAKAN, 23 Sept (Bernama) – Polis Marin merampas 3,930 bungkus rokok seludup selepas menahan sebuah bot laju di perairan berhampiran Pulau Nunuyan dekat sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata anggota PPM terserempak dengan bot laju tersebut pada pukul 10.40 pagi.

Katanya ketika hendak diperiksa, juragan memecut laju botnya menuju ke perairan cetek dan kemudian terkandas.

Juragan bertindak melarikan diri dan hasil pemeriksaan di dalam bot menemui 3,930 bungkus rokok yang diseludup masuk dari negara jiran, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya nilai rampasan termasuk bot laju dan enjin berjumlah RM19,648.

Mohamad berkata rokok tersebut hendak dipasarkan di daerah ini khususnya di kawasan Bandar Sandakan.

Katanya kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam.