Cubaan seludup rokok bernilai lebih RM56,000, gagal

Cubaan seludup rokok bernilai lebih RM56,000, gagal

SEMPORNA, 7 April (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2,900 bungkus rokok bernilai RM56,879 dalam dua kes semalam.

Komander PPM Wilayah Sabah Mohamad Madun dalam kenyataan hari ini berkata 400 bungkus rokok nilai pasaran dianggarkan RM7,845 dirampas dari sebuah perahu yang diperiksa di kawasan perairan Kampung Labuan Haji, kira-kira 8.30 pagi.

Katanya dalam kes kedua, 2,500 bungkus rokok bernilai RM49,034 dirampas dari sebuah lagi perahu di kawasan perairan Tanjung Manimpa kira-kira 9 malam tadi.

Katanya dalam kedua-dua kes, seorang lelaki dalam setiap perahu itu mengambil tindakan terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan perkampungan berdekatan apabila menyedari kehadiran anggota PPM.

Menurutnya dua buah perahu dan dua injin yang dianggarkan bernilai RM10,300 turut dirampas.