Cubaan seludup senjata, peluru dipatahkan

Cubaan seludup senjata, peluru dipatahkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Pasukan Polis Diraja Brunei telah berjaya memberkas seorang warga asing berusia 29 tahun yang cuba menyeludup barang-barang tegahan ke Negara Brunei Darussalam termasuk dua senjata api.

Tangkapan menerusi “Ops Langkah” itu dibuat oleh Pasukan Simpanan Kompeni ‘C’ pada pukul 6.45 petang 26 Mei lepas di kawasan ladang padi Kampung Bebuloh. Bagaimanapun tiga orang rakan suspek berjaya melarikan diri.

Dua senjata api yang dirampas daripada suspek ialah selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri dan selaras senjata menyerupai M16 Colt Carbine yang dipercayai diubah suai untuk menggunakan peluru senapang patah (shot gun).

Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman, berkata suspek boleh didakwa atas kesalahan Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58 Seksyen 2 iaitu menyimpan senjata api dan Seksyen 11 iaitu menyimpan bahan letupan.

Suspek juga boleh didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 Seksyen 29 (1) iaitu membawa senjata merbahaya di tempat awam.

Antara barangan yang turut dirampas dalam ‘Ops Langkah’ di kawasan ladang padi Kampung Bebuloh, baru-baru ini.
Antara barangan yang turut dirampas dalam ‘Ops Langkah’ di kawasan ladang padi Kampung Bebuloh, baru-baru ini.
Selaras senjata senapang patah dipercayai buatan sendiri turut dirampas.
Selaras senjata senapang patah dipercayai buatan sendiri turut dirampas.

ASP Haji Mohamad Noor berkata semasa tangkapan dibuat, empat beg ditemui mengandungi tiga kartun dan 11 kotak kecil rokok.

Menurut beliau lagi, selain dua laras senjata api, barang-barang lain yang turut dirampas ketika tangkapan adalah kelengkapan untuk menoreh kayu gaharu, pelbagai jenis ubat-ubatan, sebilah pisau, pakaian, makanan, dua telefon bimbit, sebuah buku catatan, tiga lampu suluh dan 33 butir peluru senapang patah.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan jika melihat atau mendapati sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan sempadan hendaklah melaporkan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA