Cubaan serangan Tahun Baru dipatahkan

Cubaan serangan Tahun Baru dipatahkan

JAKARTA, 25 Dis (AFP) – Polis Indonesia hari ini mengatakan mereka memberkas dua orang lelaki, termasuk seorang lelaki minoriti Uighur, China, yang didakwa merancang satu serangan berani mati Tahun Baru di Jakarta.

Polis memberkas seorang warga Indonesia, bernama Arif Hodayatullah, berhampiran ibu negara kerana memandu tanpa lesen kereta dan mendapati beberapa buah buku mengenai pembuatan bom di dalam kenderaannya, menurut satu dokumen yang dilihat AFP.

Sebuah skuad antipengganas menyerbu rumahnya di Jawa Timur di mana mereka memberkas seorang etnik Uighur, dikenali hanya sebagai Alli dan merampas satu ves serangan berani mati dan bahan untuk membuat bom.

“Kami juga menemui satu peta (di mana serangan akan dijalankan) namun kami hanya menemui sekeping, kami perlu menyiasat lagi,” kata jurucakap polis kebangsaan Anton Charliyan lewat semalam.

Penangkapan itu dibuat di tengah-tengah kewaspadaan memuncak selepas polis memberkas beberapa orang lagi yang disyaki ekstremis.

Pada Isnin, polis di Jawa memberkas lima suspek dari sebuah sel dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam (IS) dan empat lagi dikaitkan dengan rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah, bertanggungjawab bagi beberapa serangan besar di Indonesia.

Negara itu mengerahkan lebih daripada 150,000 tentera dan anggota polis dalam tempoh Hari Krismas hingga Tahun Baru serta mempertingkatkan kawalan keselamatannya di lapangan terbang selepas satu ancaman ke atas Jakarta.

Satu sumber polis yang enggan dinamakan, mengatakan Alli dipercayai seorang pembuat bom dan dipilih untuk melakukan serangan berani mati.