Cuckoo bina kilang baharu

SEOUL, 11 Mac – Pengeluar perkakasan rumah Korea Selatan, Cuckoo Electronics Co Ltd, merancang untuk membina kilang bernilai RM100 juta di Malaysia untuk menghasilkan produk penulen air.

Pengembangan pembuatannya ke Pelabuhan Klang, Selangor akan merapatkan jurang permintaan susulan pertumbuhan pesat di Asia Tenggara dengan potensi pasarannya yang besar selain mengurangkan kos pengangkutannya.

Bercakap kepada pemberita pada sambutan Ulang Tahun ke-40 Cuckoo dari 4 hingga 10 Mac 2018 di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Koo Bon Hak, berkata: “Kami menyemak hartanah dan menjalankan kajian daya maju.”

Mengenai masa depan, katanya syarikat yang menduduki tempat pertama bagi periuk nasi di Korea Selatan, dijangka membina dua kilang lain di Indonesia dan India untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pada masa ini, ia mempunyai dua kilang yang terletak di Yangsan dan Siheung, Korea Selatan dengan jumlah kapasiti pengeluaran lebih 4.5 juta set setahun.

Produk utama Cuckoo Electronics termasuklah periuk tekanan elektrik pelbagai fungsi, periuk nasi elektrik, penulen air, penapis udara, pelbagai induksi dan alat memasak.

Sementara itu, Koo berkata, syarikat tersebut menyasarkan untuk meraih jualan sebanyak AS$1.5 bilion pada tahun ini berbanding AS$760 juta tahun lepas, dengan menawarkan lebih banyak portfolio produk dan memasuki Vietnam, India dan Indonesia untuk mencari pelanggan baharu.

“Kami menambah banyak barisan produk seperti bukan sahaja periuk nasi dan penulen air tetapi juga pengisar, pelbagai induksi, penjagaan kesihatan dan penjagaan haiwan kesayangan.

“Kami telah mengambil langkah untuk memperluaskan daripada satu pasaran kepada pasaran yang lain. Kami telah memulakan perniagaan di Malaysia sejak dua hingga tiga tahun yang lalu dan telah memulakan perniagaan di Brunei dan Singapura tahun lepas.” – Bernama