Cuepacs bantah pembekuan jawatan baharu

Cuepacs bantah pembekuan jawatan baharu

MIRI, 7 Mac (Bernama) – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah tindakan kerajaan membekukan pengambilan penjawat awam dengan tidak membenarkan pewujudan jawatan baharu berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata keputusan kerajaan yang diambil oleh Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Pekeliling Perbendaharaan bertajuk “Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan” membawa implikasi sosial dan ekonomi yang negatif kepada negara.

“Cuepacs tidak bersetuju tindakan MOF dan akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta perkara ini dikaji semula,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perkhidmatan Awam anjuran Cuepacs Sarawak oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin di sini hari ini.

Azih berkata Cuepacs kecewa tindakan MOF yang membuat keputusan itu tanpa sebarang perbincangan dilakukan memandangkan impak negatif arahan tersebut lebih kepada kebajikan kakitangan bawahan dan bukan kakitangan atasan.

Beliau berkata impak sosial yang bakal dialami oleh negara ialah masalah pengangguran bakal meningkat terutama individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan sijil lain.

Azih berkata dari sudut ekonomi tindakan itu akan melambatkan lagi proses pemulihan ekonomi berikutan kekurangan kritikal kakitangan awam untuk melaksanakan sesuatu tugasan mengikut jadual terutama jika ia melibatkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

“Cuepacs meminta pegawai MOF yang bertugas di Putrajaya turun padang melihat sendiri keadaan di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara sebelum mengeluarkan garis panduan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata ada sesetengah kawasan, terutama sekali di luar bandar dan pedalaman, memerlukan petugas yang ramai kerana keluasan dan kedudukan geografi kawasan tempat berkhidmat seperti Sarawak dan Sabah.

Pekeliling Perbendaharaan setebal 11 muka surat itu, menggariskan 14 garis panduan, antaranya pewujudan jawatan baharu tidak dibenarkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.

Pekeliling itu juga mengarahkan pewujudan jawatan baharu bagi jawatan kritikal yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara, dilaksanakan dengan kawalan ketat.