‘Cukai gula’

‘Cukai gula’

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Cukai ke atas kandungan gula dalam produk makanan yang melebihi had dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tabiat makanan masyarakat Asia masa kini dan perlunya mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan terhadap penghasilan produk makanan sihat dan selamat adalah antara agenda yang diberikan perhatian khusus pada Forum Asia Food Vision yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Ketiga-tiga isu itu dibincangkan dengan terperinci memandangkan tahap kesihatan penduduk dunia, khususnya di rantau Asia terhadap penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan diabetes kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Industri Makanan ASEAN China, Haji Abdul Halim bin Haji Saim ketika ditemu bual hari ini berkata, penyelidikan berkaitan trend pemakanan purata penduduk Asia mendapati majoriti kumpulan keluarga masyarakat moden masa kini lebih memilih bahan makanan yang mudah dimasak atau membawa keluarga makan di luar.

“Selain memilih makanan yang mudah dimasak, kajian juga mendapati kumpulan keluarga yang bersaiz kecil juga memilih makanan yang selamat, bersih, berkualiti dan mudah diperoleh melalui pesanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sektor pengeluar produk makanan di negara ini perlu mengambil maklum akan trend tabiat pemakanan generasi hari ini dan yang mendatang jika ingin terus bersaing dalam pasaran makanan serantau dan di peringkat antarabangsa.

Haji Abdul Halim ketika bercakap mengenai industri makanan serantau.
Haji Abdul Halim ketika bercakap mengenai industri makanan serantau.

Katanya, turut dibincangkan dengan mendalam pada forum berkenaan ialah mengenai kandungan gula dalam produk makanan terutama dalam minuman berkarbonat yang pada masa ini dikenakan had maksimum sebanyak 10 gram pada setiap 100 mililiter minuman oleh WHO.

Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan di kebanyakan negara di dunia melobi kerajaan supaya kandungan gula yang melebihi had yang ditetapkan oleh badan dunia itu perlu dikenakan ‘cukai gula’.

“Oleh sebab kesan pelaksanaan cukai gula oleh kerajaan akan memberi tamparan kepada industri makanan dan minuman, maka pada mesyuarat meja bulat itu peserta-peserta Food Vision bersepakat untuk mengambil sikap tunggu dan lihat langkah seterusnya oleh pihak-pihak kerajaan negara anggota dalam menggariskan hala tuju pengeluaran makanan di rantau ini akan merancang tindakan dan langkah susulan selaras dengan keputusan tersebut,” ujarnya yang juga Pengerusi ASEAN Food & Beverage Alliance (AFBA).

Ketika ditanya mengenai peluang pengeluar produk makanan tempatan menembusi pasaran dalam Komuniti Ekonomi ASEAN, Haji Halim berpendapat penyelidikan dan pembangunan dalam pengeluaran makanan berdaya tahan dan berdaya saing adalah faktor utama dalam industri pengeluaran makanan yang sihat, bersih dan selamat.

Beliau berpendapat sektor makanan di negara ini harus mempertingkatkan lagi bidang penyelidikan dan pembangunan terhadap produk makanan yang dikeluarkan supaya segala pengeluaran makan tempatan dapat dioptimumkan dari segi kualiti, kuantiti dan keselamatan kandungannya.

Ujarnya lagi, penyelidikan dan pembangunan adalah aspek penting yang perlu diambil kira untuk membangunkan dan memajukan industri makanan tempatan supaya perusahaan kecil dan sederhana tempatan dapat menghasilkan pemprosesan makanan yang efisien dan kos efektif.

Salah satu cara untuk mewujudkan usaha penyelidikan dan pembangunan terhadap produk makanan, yang setentunya menelan kos besar jika dikendalikan sendirian, adalah dengan bergabung dan menubuhkan koperasi dalam industri yang sama bagi sama-sama memperbaiki lagi pengeluaran dan kualiti produk yang dihasilkan.

Forum Asia Food Vision yang diadakan buat pertama kalinya itu menumpukan eksklusif kepada pertumbuhan industri pemakanan Asia yang sedang rancak serta cabaran-cabaran kesihatan dan ekonomi yang menyusul pertumbuhan itu.

ARTIKEL YANG SAMA