Cukai rokok perlu dinaikkan

Cukai rokok perlu dinaikkan

LONDON, 7 Julai (Reuters) – Kerajaan di seluruh dunia harus menambah cukai ke atas rokok dan produk tembakau lain untuk menyelamatkan nyawa dan menghasilkan dana untuk perkhidmatan kesihatan yang lebih kukuh, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Dalam satu laporan bertajuk “Wabak Tembakau Global 2015,” agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata tidak banyak kerajaan yang memanfaatkan cukai tembakau untuk menasihati orang supaya jangan merokok atau membantu mereka berhenti merokok. Ia menyarankan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada harga pek rokok harus dikenakan cukai.

WHO menghitung satu orang mati akibat penyakit berkaitan tembakau setiap enam saat, bersamaan dengan kira-kira 6 juta orang setahun.

Jumlah tersebut diramalkan akan meningkat kepada lebih 8 juta orang setahun pada tahun 2030 melainkan langkah kukuh diambil untuk mengawal apa yang digelarnya “wabak tembakau.”

Terdapat satu bilion perokok di seluruh dunia, tetapi kebanyakan negara mempunyai kadar cukai tembakau yang amat rendah dan ada di antaranya langsung tidak mempunyai cukai tembakau khas, kata WHO.

“Menambah cukai ke atas produk tembakau adalah salah satu cara yang paling efektif, dan kos efektif, untuk mengurangkan penggunaan produk yang membunuh, sementara menghasilkan pendapatan besar,” kata Ketua Pengarah WHO Margaret Chan dalam laporan.

Beliau menggesa semua kerajaan supaya melihat pada bukti dan “mengamalkan pilihan dasar terbaik yang ada untuk kesihatan.”

Tembakau adalah satu daripada empat faktor risiko utama di sebalik penyakit tidak berjangkit kebanyakannya kanser, penyakit kardiovaskular, paru-paru dan diabetes.

Pada 2012, penyakit tersebut telah membunuh 16 juta orang di bawah umur 70 tahun, dengan lebih 80 peratus daripada kematian berkenaan berlaku di negara miskin dan berpendapatan sederhana.

Douglas Bettcher, pakar WHO mengenai pencegahan penyakit tidak berjangkit, berkata cukai tembakau yang lebih tinggi telah terbukti dapat mengurangkan penggunaan dan membantu orang berhenti merokok.

“BUkti dari negara seperti China dan Perancis menunjukkan harga produk tembakau yang lebih tinggi yang dikaitkan dengan kenaikan cukai membawa kepada kemerosotan dalam merokok dan risiko yang berkaitan dengan tembakau,” kata beliau.

ARTIKEL YANG SAMA