Culik: 3 dihadapkan ke mahkamah

Culik: 3 dihadapkan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Tiga lelaki Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik rakan senegara, dengan niat untuk mengurungnya.

Mahbub Solaiman Patwary, 45, Moniruzzaman Monir, 33, dan Mohammad Zakir Hossain, 24, didakwa melakukan kesalahan terhadap Rezaul Karim pada 22 Oktober kira-kira jam 8:30 malam di kawasan berdekatan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.

Dalam sebutan hari ini, ketiga-tiga tertuduh memberitahu Majistret, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa mereka tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu walaupun tahu serba sedikit bahasa itu. Tiada pengakuan diambil daripada mereka.

pg06_151027_mahkamah logo2

Mereka didakwa di bawah Seksyen 365 Kanun Hukuman Jenayah Bab 22, yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula memohon kepada mahkamah untuk sebutan ditangguhkan selama dua minggu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.

Majistret, Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan 9 November untuk sebutan semula, dan memerintahkan ketiga-tiga tertuduh ditahan reman di Balai Polis Pusat.

ARTIKEL YANG SAMA