Cungkil bakat muda jadi pelapis

Cungkil bakat muda jadi pelapis

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Dengan hasrat untuk meningkatkan mutu permainan sukan bola sepak tanah air dan mencungkil bakat-bakat muda yang boleh dijadikan pelapis di masa akan datang, DST dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) telah mengadakan Kejohanan Ihsan Kasih Piala Futsal DST 2016 yang berlangsung di Kompleks Sukan Jerudong, Kampung Jerudong, hari ini.

Kejohanan yang merupakan sebahagian dan program tanggungjawab sosial korporat DST, Ihsan Kasih, merupakan kali ketiga diadakan dan disertai oleh lebih daripada 150 orang anak-anak yatim dari keempat-empat daerah yang dipilih menerusi ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu dari mukim-mukim di Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong.

Kejohanan setengah hari itu disaksikan dan dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir di kejohanan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Suhaimi bin Haji Hussain, Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Pemangku Pegawai Daerah Brunei Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, ibu bapa dan penjaga para pemain, ketua-ketua kampung, pihak pengurusan DST, pegawai-pegawai kerajaan dan pegawai-pegawai NFABD.

Sebelum perlawanan dimulakan, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan, DST, Radin Sufri Radin Basiuni menyatakan harapan supaya para pemain tidak akan melepaskan peluang menerusi penyertaan mereka dalam kejohanan itu untuk meningkatkan mutu permainan masing-masing sama, di samping dapat membina perwatakan berdaya saing, semangat kerjasama, berpasukan dan beretika dalam persiapan bagi setiap perlawanan.

Awang Abdul Latiff menyampaikan hadiah kepada juara pada kategori A, Pasukan England.
Awang Abdul Latiff menyampaikan hadiah kepada juara pada kategori A, Pasukan England.

Daripada acara Futsal DST yang lalu, pihak NFABD telah dapat mengenal pasti 10 orang bakat muda yang menjalani pelbagai skim NFABD. Oleh itu, beliau berharap mereka mampu mencapai ke tahap tertinggi di peringkat negara.

Kejohanan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A bawah 12 tahun (9 hingga 12 Tahun) dan Kategori B bawah 15 tahun (13 hingga 15 Tahun) di mana para pemain dibahagikan kepada 19 buah pasukan dan di pusingan awal, format perlawanan menggunakan sistem round robin, di mana dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan meneruskan perlawanan ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir.

Dalam Kategori A, bawah 12 tahun, juara disandang oleh Pasukan England dari Daerah Brunei dan Muara, diikuti oleh Pasukan Perancis di tempat kedua, juga dari Daerah Brunei Muara dan Pasukan Rusia dari Daerah Temburong di tempat ketiga. Manakala itu bagi Kategori B, bawah 15 tahun, juara disandang oleh Pasukan Croatia dari Daerah Brunei dan Muara dengan tempat kedua menjadi milik Pasukan Austria juga dari Daerah Brunei dan Muara dan Pasukan England dari Daerah Temburong di tempat ketiga.

Di majlis berkenaan juga, Awang Abdul Latiff menyampaikan hadiah kepada penjaring terbanyak bagi setiap kategori dengan Kategori A dimenangi oleh Awang Amirul Zakwan bin Abdullah dari Pasukan Rusia manakala Awang Muhammad Amirunnezam bin Haji Mohd Yakub dari Pasukan Croatia bagi kategori B.

Kejohanan itu bukan sahaja salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Ihsan Kasih terutama untuk memberikan peluang kepada anak-anak yatim untuk beraksi dalam perlawanan bola sepak, tetapi juga merupakan usaha berterusan DST untuk menggalakkan pembangunan sukan bola sepak di Brunei di semua peringkat yang terus digandakan daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat veteran menerusi kerjasama yang erat dengan agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan dan kelab-kelab bola sepak negara.

ARTIKEL YANG SAMA