Cungkil bakat pelajar dalam bidang usahawan

Cungkil bakat pelajar dalam bidang usahawan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Bagi mengembangkan kebolehan keusahawanan dalam kalangan pelajar, Sekolah Nusa Laila Puteri cawangan Jangsak telah mengadakan Pesta Perniagaan yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula hari ini sehingga 9 September, di sekolah berkenaan.

Pelancarannya telah dirasmikan oleh Ketua Kampung Bebatik Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu dan turut hadir menyaksikan pelancaran pesta itu ialah Presiden selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengetua sekolah berkenaan, Profesor Dr. Pengiran Amir Mohammad bin Pengiran Abbas Al-Haj.

Pesta yang membawa tema Nurturing Future Leaders with Entrepreneurial Skill itu antara lain bertujuan untuk mempromosi sekolah kepada orang ramai, mengeratkan hubungan ibu bapa dan guru-guru sekolah berkenaan selain melatih kebolehan berfikir secara kritikal dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Di samping itu, 10 peratus daripada hasil jualan dalam pesta ini akan disumbangkan kepada pihak sekolah bagi membiayai pembelian sebuah projektor.

Awang Mohd Adrian akan berusaha untuk terus melibatkan diri dalam perniagaan pada peringkat awal ini.
Awang Mohd Adrian akan berusaha untuk terus melibatkan diri dalam perniagaan pada peringkat awal ini.

Sementara itu, salah seorang peserta pesta, Awang Mohd Adrian bin Azani, 11, yang sempat ditemu bual, mengatakan penyertaannya dalam pesta itu merupakan penglibatan yang julung kalinya dan memberinya pengalaman untuk berani berdepan dengan orang ramai dan yang paling menggembirakan apabila berjaya mendapat hasil jualan. Pelajar Tahun 6 itu juga menjelaskan sejak pesta itu dibuka bermula 8 pagi tadi, jualan topinya mendapat sambutan yang baik daripada pengunjung.

Awang Mohd Adrian seterusnya berharap, hasil jualan topi itu nanti sebahagiannya akan dijadikan modal untuk membeli topi-topi terkini dan menjadikan penjualan topi itu sebagai langkah permulaan untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Pesta yang turut disertai pelajar Tahun 7 dan 9 itu juga menawarkan pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk beberapa permainan untuk menarik lebih banyak pengunjung. Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke pesta tersebut yang bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.