Cungkil bakat penulisan esei tentang sejarah Brunei

Cungkil bakat penulisan esei tentang sejarah Brunei

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR), buat pertama kalinya akan mengadakan Peraduan Menulis Esei Sejarah Negara Brunei Darussalam (1906-2015) yang dibukakan kepada orang ramai.

Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail berkata, skop penulisan merangkumi dalam skop sejarah politik, sosial dan ekonomi Negara Brunei Darussalam dalam tempoh 1906 hingga 2015.

“Dalam sejarah politik bolehlah dilihat sejarah pentadbiran Kesultanan Brunei, Residen British, Majlis-Majlis Mesyuarat, Pendudukan Jepun, Perlembagaan Negeri Brunei 1959, hubungan Brunei dengan British, Malaysia, Indonesia dan Singapura,” katanya dalam satu sidang media yang berlangsung di Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini, pagi ini.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Menurut Profesor Madya Dr. Haji Asbol, sejarah sosial pula boleh dikaji tentang sejarah pendidikan, agama, undang-undang, adat istiadat, wanita, perhiasan, pakaian, pertukangan tangan, perhubungan dan media massa.

Prof. Madya Dr Haji Awang Asbol (kanan) dan Dr. Muhammad Hadi ketika menerangkan mengenai peraduan dan sejarah PESEBAR.
Prof. Madya Dr Haji Awang Asbol (kanan) dan Dr. Muhammad Hadi ketika menerangkan mengenai peraduan dan sejarah PESEBAR.

“Manakala itu dalam sejarah ekonomi boleh dilihat sejarah industri minyak, pertanian, perikanan dan perdagangan. Bidang-bidang lain yang bersesuaian boleh juga ditulis selain daripada yang disarankan itu,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, para peserta juga dibenarkan untuk menulis tentang perkembangan historigrafi, sumber-sumber penulisan sejarah Negara Brunei Darussalam, pengajaran dan kepentingan sejarah.

Peraduan tersebut terbuka kepada warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam kecuali Ahli Jawatankuasa Kerja PESEBAR dan para panel hakim seramai tiga orang yang akan dipilih nanti.

Menurut Prof. Madya Dr. Haji Asbol, Peraduan Menulis Esei Sejarah Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu kegiatan PESEBAR dalam memberigakan sejarah negara ini.

Ia bertujuan bagi memperingati sempena 50 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki tahkta kerajaan Negara Brunei Darussalam di samping memperkayakan penulisan sejarah negara yang boleh dijadikan rujukan dan landasan dalam mengenali arus perjalanan sejarah dan identiti bernegara dan berbangsa bagi masyarakat negara ini.

Selain itu ia juga bertujuan untuk menggalakkan para pengkaji dan penulis supaya lebih berminat dalam penulisan sejarah negara, menyediakan ruang untuk percambahan minda terbaru dalam penulisan sejarah negara ini berdasarkan satu kajian yang teratur dan asli serta menggalakkan mereka untuk menerokai penulisan sejarah Negara Brunei Darussalam yang terbaru yang belum pernah ditulis oleh mana-mana penulis sebelum ini.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan bagi peraduan ini ialah wang tunai berjumlah $2,500 untuk pemenang tempat pertama, $2,000 bagi pemenang tempat kedua dan $1,000 bagi pemenang tempat ketiga.

Empat hadiah penghargaan juga akan diberikan kepada empat peserta terpilih dengan menerima wang tunai berjumlah $500 setiap peserta.

Tarikh akhir menghantar esei ialah 31 Ogos 2016 dan hendaklah dihantar bersama empat salinan esei (hard copy), satu soft copy berserta borang penyertaan kepada Setiausaha Kehormat PESEBAR, Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Tungku Link, BE1410, Negara Brunei Darussalam.

Borang-borang penyertaan boleh didapati di UBD, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa atau di Pusat Sejarah, Bandar Seri Begawan.

Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan yang lebih lanjut mengenai peraduan tersebut bolehlah menghubungi Setiausaha Kehormat PESEBAR ditalian 8888531 atau Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR di talian 7171539.

ARTIKEL YANG SAMA