Cungkil kebolehan ahli Muslimah Masjid Kg Danau

Cungkil kebolehan ahli Muslimah Masjid Kg Danau

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 30 Nov – Kumpulan-kumpulan Muslimah masjid di Daerah Tutong telah giat menjalankan kegiatan sepanjang bulan ini sebagai kegiatan akhir tahun bagi tahun 2016.

Baru-baru ini, Muslimah Masjid Kampung Danau telah mengadakan Pertandingan Memasak dan Gubahan Bunga bagi para Muslimah masjid berkenaan yang diadakan di masjid tersebut.

Hadir selaku tetamu khas bagi menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan ialah Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir.

Adapun tujuan pertandingan diadakan adalah untuk mencungkil bakat memasak dan gubahan bunga bagi ahli-ahli Muslimah masjid berkenaan selain dapat mengeratkan perpaduan dan silaturahim antara para Muslimah masjid.

Muslimah-muslimah Masjid Kampung Danau yang ikut serta dalam Pertandingan Memasak dan Gubahan Bunga bergambar ramai bersama tetamu khas.
Muslimah-muslimah Masjid Kampung Danau yang ikut serta dalam Pertandingan Memasak dan Gubahan Bunga bergambar ramai bersama tetamu khas.

Pertandingan tersebut telah disertai oleh penduduk Kampung Danau dan ahli-ahli Muslimah masjid.

Manakala itu, seramai 17 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, baru-baru ini, telah mengikuti bengkel Pengurusan Jenazah yang bertemakan ‘Ke Tanah Jua Kita Akhirnya’ yang diadakan di masjid tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil kepada peserta bengkel ialah Ketua Bahagian Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussein.

Semasa bengkel dijalankan, tenaga pengajar bengkel terdiri daripada pengapai iaitu Dayang Sariah binti Haji Mohd Daud dan Dayang Norzaidah binti Abdullah Dawat.

Antara tujuan bengkel diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada ahli Muslimah agar mempunyai pengetahuan dan pengalaman mendalam yang berhubung kait dengan pengurusan jenazah dan seterusnya melatih peserta untuk berani dan mahir dalam menguruskan penyempurnaan jenazah.