Cungkil lebih ramai pemain berpotensi

Cungkil lebih ramai pemain berpotensi

Oleh Hjh Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Dis –  Hampir 30 orang terdiri daripada kalangan remaja dan penuntut sekolah telah mendaftar untuk menyertai  Program Mengenalpasti Bakat (TID) – khusus sukan bola jaring  yang dianjurkan oleh Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) yang diadakan di Kompleks Sukan Mumong di sini.

Program TID merupakan medan pemilihan bagi jurulatih kebangsaan dalam mencari bakat-bakat baru dalam sukan bola jaring yang boleh diserapkan ke dalam pasukan pelapis kebangsaan dan Daerah Belait merupakan daerah yang kedua program berkenaan diadakan selepas Daerah Tutong sebelum ini.

Penyelaras Program TID, Awang Omarali bin Haji Ibrahim semasa ditemui Media Permata memberitahu bahawa program tersebut mengandungi tiga komponen iaitu ujian autopromotik, kecergasan dan kemahiran. Ketiga-tiga data daripada ujian tersebut akan dianalisis bagi melihat pemain yang berpotensi dalam sukan bola jaring.

Menurutnya, semasa Program TID yang diadakan di Daerah Tutong, penyertaannya tidak begitu menggalakkan, walaupun unit tersebut mengharapkan supaya lebih ramai kalangan remaja di bawah umur 21 tahun untuk menyertai program seperti itu, kerana lebih mudah dan lebih banyak pilihan dalam mencari atlet-atlet negara.

“Di Daerah Belait, daripada jumlah penyertaan adalah lebih baik, dan kami berharap melalui pengenalpastian atlet di sini, kami akan menyerahkan mereka kepada jurulatih dan persatuan untuk mengaturkan program-program latihan bagi pemain-pemain yang terpilih,” katanya.

Thilaka Jinadasa bersama dengan peserta-peserta Program TID yang diadakan di Daerah Belait.
Thilaka Jinadasa bersama dengan peserta-peserta Program TID yang diadakan di Daerah Belait.

Program TID yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam juga bertujuan untuk menilai peserta-pesertanya dari segi ketinggian ukuran badan, sebagai satu kelebihan, di samping kepantasan, tindakan, potensi dan kemahiran adalah diambil kira.

“Sukan bola jaring negara setakat ini menduduki tempat ketiga dalam Sukan SEA lepas, dan kita boleh memperbaiki kedudukan itu dengan adanya pemain-pemain yang lebih berkualiti dan latihan-latihan yang lebih teratur dan sistematik,” tambah beliau.

Di samping itu jelasnya lagi, dalam memberikan latihan, para atlet juga perlu didedahkan kepada banyak perlawanan dan kejohanan-kejohanan yang bertaraf tinggi, untuk membiasakan mereka bertanding di kejohanan-kejohanan yang lebih mencabar sebelum menghadapi perlawanan Sukan Sea, Sukan Asia dan sebagainya.

Beliau juga memberitahu, sebelum ini Program TID bagi sukan-sukan lainnya seperti olahraga, sepak takraw, berbasikal dan sebagainya dijalankan melalui kerjasama bersama dengan pihak sekolah-sekolah, memandangkan atlet-atlet remaja berumur 17 tahun ke bawah yang menjadi sasaran program tersebut adalah dalam kalangan mereka yang berada di sekolah.

Menurutnya lagi, sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2010 sehingga sekarang, seramai lebih 3000 penuntut dan atlet  telah diuji.

Ujian Lompatan Menegak, yang diadakan semasa Program TID di Kompleks Sukan Mumong.
Ujian Lompatan Menegak, yang diadakan semasa Program TID di Kompleks Sukan Mumong.

“Bagaimanapun kami masih memerlukan ujian yang berterusan untuk mencari lebih ramai atlet yang dapat diserapkan kepada sukan-sukan yang ada, sehubungan itu di samping bekerjasama dengan pihak sekolah, kami juga bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan, yang mana kami membantu pihak persatuan bagi mencari atlet-atlet yang diperlukan,” ujarnya.

Sementara itu, Jurulatih Kebangsaan, Thilaka Jinadasa semasa ditemui Media Permata pula berkata, mereka mengharapkan untuk membawa lebih ramai pemain-pemain atau atlet baru dan mendedahkan mereka kepada kejohanan-kejohanan yang mencabar.

Menurutnya, pada bulan Mei tahun depan Kejohanan Belia ASEAN dalam sukan bola jaring akan diadakan dan mereka perlu mencari pemain-pemain baru bagi menambah pemain yang ada pada masa ini iaitu seramai 10 ke 12 orang. Melalui Program TID, sasaran utama mereka adalah untuk mencari lebih ramai pemain-pemain yang berpotensi bagi mewakili negara ke sukan-sukan luar negara.

“Adalah penting kepada kalangan pelajar untuk dapat meluangkan waktu mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti sampingan bagi meningkatkan ketahanan badan, kecerdasan berfikir, bijak membuat keputusan, lebih-lebih lagi jika aktif dalam kegiatan sukan, dan saya melihat di negara ini, pelajar-pelajar apabila belajar mereka hanya akan fokus belajar sehingga menganggap tiada masa untuk aktiviti sampingan seperti sukan,” katanya.

Antara pengisian Program TID yang diadakan di Daerah Belait baru-baru ialah sesi pendaftaran, taklimat Program TID, demonstrasi, sesi memanaskan badan dan ujian bagi menyertai program tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA