Curah bakat dalam bentuk lukisan

Curah bakat dalam bentuk lukisan

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Bengkel Asas Melukis Karikatur yang dikendalikan Perpustakaan Sengkurong dan Bahagian Seni Lukis & Reka Bentuk, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menutup tirainya hari ini dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada para peserta.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Perpustakaan Sengkurong itu ialah Penghulu Mukim Sengkurong ‘B’, Haji Musa bin Haji Tahir yang juga berkesudian menyampaikan hadiah kepada pemenang lukisan terbaik dan sijil-sijil kepada para peserta.

Bengkel empat hari itu disertai oleh seramai 19 orang peserta dan dikendalikan oleh Awang Muhammad Rezuan bin Haji Jamaeh dari DBP dengan matlamat bengkel adalah untuk memberi pendedahan dan memberi bimbingan asas serta memupuk minat dalam menghasilkan buku cerita kanak-kanak sebagai sumber tambahan bahan bacaan.

Ketua Bahagian Perpustakaan DBP, Hajah Norsinah binti Haji Moksin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, seni lukis adalah salah satu cabang ilmu di mana seseorang melahirkan idea, memikir dan menyampaikannya dalam bentuk lukisan.

Tetamu kehormat, ketua bahagian perpustakaan dan para peserta bergambar ramai kenang-kenangan.
Tetamu kehormat, ketua bahagian perpustakaan dan para peserta bergambar ramai kenang-kenangan.

“Di dalam buku cerita komik, pelukis akan melakar mengikut peranan dan perlakuan watak sama ada ia memberi gambaran watak manusia, binatang, tumbuhan atau apa saja bahan untuk dijadikan cerita,” ujarnya.

Beliau menambah, ada di antaranya akan menggunakan beberapa perkataan bagi memberi gambaran jelas cerita yang disampaikan dan ada juga karya tersebut sama sekali tidak disertakan dialog. Lakaran karikaturnya sudah cukup untuk para penggemar cerita komik memahami jalan ceritanya.

Antara objektif bengkel tersebut adalah sebagai salah satu kegiatan perpustakaan sempena cuti penggal persekolahan, mengekalkan kesedaran akan penyediaan perkhidmatan perpustakaan dan mengenalkan dan memupuk minat dalam seni lukis. Selain itu, ia diharap dapat membantu individu yang berminat mengembangkan bakat dan berkarya dalam menterjemah idea-idea salam bentuk penulisan dan seni lukis.

Majlis dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada pelukis-pelukis terbaik bagi Kategori A iaitu yang berumur antara 10 hingga 15 tahun yang dijuarai oleh Awang Muhammad Hazim bin Abdul Rahmani. Manakala itu, Dayang Adriana Audady binti Azman dan Awang Muhammad Arif Arshad bin Azmain masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dalam kategori berkenaan.

Lukisan terbaik bagi Kategori B yang berumur antara 16 hingga 20 tahun pula dimenangi oleh Awang Muhammad Haziq bin Abdul Rahmani manakala itu, tempat kedua dan ketiga tidak ada pemenang disebabkan lukisan yang dihasilkan kurang menepati penilaian pemarkahan.

ARTIKEL YANG SAMA