Curi, 2 lelaki terima padahnya

Curi, 2 lelaki terima padahnya

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Dua orang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencuri.

Mardalilani bin Muhammad Niah, 43, dijatuhi 12 bulan penjara oleh Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman kerana mencuri Go-Kart milik majikannya dari Garaj Kelab Polo Royal Brunei pada awal tahun 2016.

Dia yang bekerja di Bandtree Sdn Bhd selama tujuh tahun itu kemudian memunggah Go-Kart itu ke dalam trak syarikat dengan bantuan seseorang dan membawanya ke kediamannya di Daerah Tutong.

Kehilangan Go-Kart itu hanya disedari pada April 2016 oleh pekerja di syarikat itu yang menjalankan pemeriksaan inventori.

Siasatan polis mendedahkan bahawa tertuduh telah menyuruh anaknya untuk menjual Go-Kart itu dengan mengiklankannya di laman sosial Facebook.

Seorang pekerja Bandtree Sdn Bhd yang melihat iklan itu menyedari Go-Kart berkenaan menyerupai Go-Kart yang hilang sebelum ini dan terus membuat laporan polis.

Tertuduh mengaku bahawa Go-Kart itu dibeli oleh anak saudaranya pada harga $700 pada Jun 2016.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang penganggur penduduk tetap, Muhammad Alif bin Abdullah @ Anthony anak William, 41, dijatuhi empat bulan penjara atas tuduhan mencuri alat ganti kereta bernilai $7,000.

Dia melakukan kesalahan itu dari stor bengkel kereta di Kampung Serambangun, Tutong pada 22 November 2016.

Perbuatan tertuduh bagaimanapun disedari oleh pekerja bengkel yang berjaya menahannya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendawa Raya, Vuina Song.

ARTIKEL YANG SAMA