Curi: 3 warga tempatan didakwa

Curi: 3 warga tempatan didakwa

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160322_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Tiga lelaki warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan curi.

Pengiran Roniferra bin Pengiran Rambli, 38, dan Mohd Ali Akhbar bin Jufri, 25, didakwa mencuri satu unit televisyen Sony 42 inci; iPad; komputer riba Dell dan pemain DVD Samsung.

Mohd Ali Akhbar, Awangku Harris Fadillah bin Pengiran Ahmad Fadillah, 26, dan seorang lagi yang masih bebas juga didakwa mencuri mesin urutan kaki; televisyen LG; kamera; iPad dan wang tunai berjumlah AS$700.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 27 Disember 2015 di kediaman rasmi salah seorang ahli diplomatik di negara ini di Kampung Rimba.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang membawa pemenjaraan untuk tempoh sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 28 Mac untuk sebutan semula, dan memerintahkan ketiga-tiga defendan ditahan reman di Balai Polis Pusat untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.