Curi: Bekas anggota polis kena 12 tahun penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Akibat mencuri barangan berharga untuk melangsaikan hutang, bekas anggota polis dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Muhammad Dennie Eswandi bin Saban, 36, yang menghadapi 15 pertuduhan melibatkan pecah masuk rumah, menceroboh dan tidak mematuhi pegawai atasan mengaku bersalah atas kesemua dakwaan tersebut pada 20 Julai 2017.

Hakim Dato Paduka Steven Chong dalam menjatuhkan hukuman itu berkata, ia merupakan kes pecah amanah dan pengabaian tugas oleh seorang anggota polis.

Faktor-faktor yang disuarakan oleh tertuduh dalam kata-kata rayuannya bahawa dia melakukan kesalahan itu kerana terdesak dan disebabkan oleh hutang yang banyak dan keluarganya akan menghadapi kesukaran tanpa sokongannya, tidak akan mengurangkan seriusnya kesalahan yang dilakukan.

“Tambahan lagi, tertuduh telah berulang kali melakukan jenayah itu dalam tempoh lebih dari lima bulan,” tegas hakim yang turut mengambil kira nilai barangan yang dicuri.

Hukuman berat adalah wajar untuk tujuan menghukum dan menghalang jenayah sedemikian daripada terus berlaku.

Fakta kes menyebut, tertuduh sering meninggalkan pos kawalan untuk memasuki tempat larangan yang ditugaskan kepadanya untuk dijaga.

Dia memasuki tempat larangan itu ketika waktu sunyi dan mencuri barangan berharga dari tempat tersebut. Dia kemudian menjual barangan yang dicuri itu.

Tertuduh didakwa sering melakukan kesalahan itu antara November 2016 dan April 2017.

Barang-barang berharga yang hilang itu kemudian disedari oleh pekerja di tempat tersebut dan laporan polis dibuat pada April 2017.

Polis gagal untuk menemukan semua barangan yang dicuri dan hanya mendapatkan semula barang-barang yang dianggarkan bernilai $306,000 daripada orang yang membeli barangan itu daripada tertuduh.

Tertuduh dipecat dari Pasukan Polis Diraja Brunei sejak 22 Jun 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman.