Curi duit tabung masjid kena 16 bulan

Curi duit tabung masjid kena 16 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151009_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Gara-gara mencuri duit tabung masjid berjumlah $15, seorang lelaki Malaysia dihukum penjara 16 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Afindi bin Awang Damit, 24, yang berdepan dua pertuduhan.

Untuk pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri $15 dari tabung Masjid Kampung Mentiri dan untuk pertuduhan kedua, didakwa menceroboh dengan niat untuk mencuri di masjid tersebut.

Fakta kes menyebut, tertuduh yang berasal dari Sabah tiba di negara ini pada 4 Oktober 2015 untuk menyelesaikan wasiat ahli keluarganya.

Semasa di negara ini, tertuduh tinggal di rumah bapa saudaranya, dan pada 5 Oktober sekitar jam 2:20 pagi, tertuduh pergi ke Masjid Kampung Mentiri dengan niat untuk mencuri.

Tertuduh membawa bersama pembaris panjang fleksibel yang telah dilekatkan dengan pelekat pada kedua-dua sisi, lampu suluh dan beberapa lagi pelekat.

Ketika berada di dalam masjid, tertuduh pergi ke tabung masjid, dan memasukkan pembaris ke dalam lubang alur tabung dan berjaya mengeluarkan lima keping wang kertas $1.

Tertuduh kemudian pergi ke satu lagi tabung dan mengeluarkan 10 keping wang kertas $1.

Ketika meninjau di sekeliling masjid, tertuduh terdengar seseorang menjerit dan terus panik.

Tertuduh berjaya ditangkap oleh anggota CID sebaik keluar dari masjid tersebut. Tertuduh mengaku mengambil wang itu untuk membayar hutangnya berjumlah RM$400 di Malaysia.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.

ARTIKEL YANG SAMA