Curi emas mertua, rahsia terbongkar

Curi emas mertua, rahsia terbongkar

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 9 Okt – Seorang anggota beruniform bukan saja ditahan atas kesalahan mencuri tetapi turut membongkar perbuatannya yang terjebak dengan dadah sejak tiga tahun lalu sehingga disahkan positif dadah jenis Amp di sini, petang kelmarin.

Terdahulu suspek berusia 29 tahun, ditahan selepas satu laporan polis dibuat oleh mertuanya sekitar jam 11.10 tengah hari kelmarin selepas kehilangan seutas rantai leher emas yang disimpan dalam almari pakaian.

Selepas pertanyaan diasak beberapa kali, suspek mengaku mengambil rantai emas ketika menumpang rumah mertuanya sejak Jun hingga Julai lepas, disebabkan isterinya melahirkan anak.

Suspek juga dikatakan telah menggadai rantai emas berkenaan ke salah sebuah institusi kewangan di daerah ini.

Mangsa, 58, yang mengalami kerugian sekitar RM3,000 juga mendakwa kejadian berlaku pada 25 Julai lepas. Sementara itu suspek yang bekerja di bahagian kawalan sempadan juga didapati positif dadah jenis Amp.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata hasil siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dengan dadah sejak tiga tahun lalu.

Suspek katanya juga mendapat bekalan dadah Syabu daripada seorang rakan dan kali terakhir suspek mengambil dadah adalah pada malam Rabu lepas.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini,” katanya lagi.