Curi: Rosazli dipenjara lebih 2 tahun

Curi: Rosazli dipenjara lebih 2 tahun

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas enam pertuduhan menyimpan barang curi, menyebabkan kerosakan dan mencuri.

Rosazli bin Haji Metassan, 33, didakwa menyimpan barang curi iaitu sebuah kereta Toyota Super Kijang pada 14 Mac 2015 kira-kira jam 12:09 tengah malam dan untuk pertuduhan kedua, menyebabkan kerosakan pada kereta yang dicurinya pada tarikh dan waktu yang sama.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan mencuri sebuah kereta Honda Civic pada 8 Mac 2015 antara jam 1 dan 3:55 pagi di Kampung Sungai Besar selain turut didakwa mencuri beberapa kunci kereta pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Untuk pertuduhan kelima, tertuduh didakwa mencuri kereta Volkswagen Scirocco pada 12 Mac 2015 sekitar jam 5 pagi di Rancangan Perumahan Negara Meragang dan turut menghadapi pertuduhan mencuri dua ekor iguana pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Kes dikendalikan oleh Awang Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria.

ARTIKEL YANG SAMA