Curi: Seorang dipenjara, 3 didenda

Curi: Seorang dipenjara, 3 didenda

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Empat bersaudara dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, dan dikenakan hukuman denda atas pertuduhan mencuri manakala salah seorang daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan ugutan jenayah.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman denda $350 atau dua minggu penjara jika gagal membayar denda ke atas Sahrizam bin Abdul Rahman berusia 39 tahun; Mohamed Ardiman berusia 29 tahun didenda $500 atau tiga minggu penjara jika gagal membayar denda manakala Khairul Azami, 27, dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda $500 atau tambahan tiga minggu penjara jika gagal membayar denda dan Mohamad Eddy Zul Azim, 20, dikenakan denda $350 atau penjara dua minggu jika gagal membayar denda.

Keempat-empat tertuduh didakwa mencuri dua paket Milo, dua guni Beras Wangi dan dua paket Milo 3 dalam 1 daripada rak sebuah Pasar Raya Jafariya di Kampung Tanjung Nangka pada 19 Mei 2015.

Barang-barang yang dicuri itu dimasukkan ke dalam beg sandang yang dibawa tertuduh. Perbuatan tertuduh itu diketahui oleh pekerja pasar raya melalui CCTV, yang telah menahan Shahrizam.

Menyedari seorang daripada mereka ditahan, Khairul terus mengambil penyodok yang diletakkan di luar pasar raya dan mengayun-ayunkannya kepada pekerja pasar raya supaya melepaskan abangnya. Kesemua tertuduh terus melarikan diri namun berjaya diberkas pada 9 Jun 2015.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Emeralda binti Pehin Dato Haji Abas.

ARTIKEL YANG SAMA