Curi tablet, dipenjara 2 bulan

Curi tablet, dipenjara 2 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Seorang lelaki tempatan yang sanggup mencuri tablet Android untuk anak perempuannya dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan selepas gagal membayar denda $1,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Mohammad Jefri bin Haji Bagol, 40, berdepan pertuduhan mencuri tablet Android Sunsonic berserta pengecas dan palam di bilik stor, tingkat dua SupaSave Kompleks Mabohai sekitar jam 12:45 tengah hari, pada 26 Julai 2015.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman berkata, kes melibatkan curi adalah kesalahan yang serius dan masalah kewangan bukannya satu alasan untuk tertuduh mencuri harta milik orang lain.

Pemangku Majistret Kanan turut memberi amaran kepada tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahannya dan jangan sia-siakan peluang yang diberikan mahkamah kepadanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berjalan ke arah tangga kecemasan di tingkat dua kompleks tersebut dan melewati bilik stor apabila dia terlihat beberapa beg tergantung di atas kabinet.

Tertuduh kemudian masuk ke dalam bilik stor dan mencuri salah satu beg itu dan membawanya ke bilik tandas, serta mengambil tablet Android Sunsonic bersama pengecas dan palam yang berada dalam beg itu.

Tertuduh kemudian meninggalkan beg itu dalam bilik kecil tandas. Bagaimanapun, pemilik beg yang merupakan pencuci di kompleks berkenaan ternampak begnya berada di tandas apabila hendak mencuci tandas tersebut.

Menerusi rakaman CCTV, mangsa dan penyelia kompleks dapat mengecam tertuduh yang memasuki bilik stor dan membawa keluar beg mangsa.

Tertuduh yang masih berada di kawasan kompleks berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan sekitar jam 1 petang. Tertuduh mengaku mencuri tablet yang dianggarkan bernilai $200 itu.

ARTIKEL YANG SAMA