Curi: Tiga sekawan ditahan

Curi: Tiga sekawan ditahan

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 27 Okt – Hasrat tiga sekawan untuk membelanjakan wang hasil curi tidak kesampaian, apabila perbuatan mereka memecah masuk dan melarikan beberapa peralatan berharga terbongkar di sini Ahad lalu.

Suspek berusia antara 19 hingga 21 tahun berjaya diberkas dan polis berjaya menemui semula beberapa peralatan pembinaan yang dikebas hasil penangkapan kesemua suspek.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata salah seorang suspek yang ditahan merupakan anak mangsa.

“Ketiga-tiga suspek ditahan selepas gerakan mengesan mereka berjaya dilakukan sejak Khamis lepas,” ujarnya di sini semalam.

Beliau memberitahu lagi antara peralatan yang berjaya dirampas termasuk mesin pemecah simen jenama Bosch, mesin pemotong kayu jenama Hitachi, mesin welding, gergaji mesin dan iPad.

BAHAN BUKTI...Beberapa peralatan yang hilang ditemui semula.
BAHAN BUKTI…Beberapa peralatan yang hilang ditemui semula.

Katanya kesemua rampasan itu bernilai RM6,870.

“Kesemua suspek direman bagi mengesan barang kes yang masih belum ditemui,”jelasnya.

Mengulas lanjut ujarnya pihaknya turut berjaya menemui beberapa lagi peralatan yang hilang dalam kes pecah rumah hasil tangkapan ketiga-tiga suspek terbabit.

“Kita turut menemui seunit mesin dril jenama HYCO, mesin pemotong besi jenama BOSCH, mesin pencetak jenama Canon yang kesemuanya bernilai RM5,650,”dedahnya.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Isnin lepas hingga Khamis ini,”ujarnya lagi.

Dalam kejadian malam Khamis lepas, seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM14,000 selepas rumahnya di Jalan Pandaruan dipecah masuk melalui pintu belakang rumahnya menyebabkan beberapa peralatan pembinaan hilang.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah).

Sementara itu dalam kes berasingan seorang pemandu jentera berat terkejut sebaik seunit alat elektronik ‘controller’ dalam jentera berat hilang dan dicuri pada Ahad lepas.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 petang sebaik mangsa 33, hendak memulakan kerjanya meratakan jalan di kawasan sebuah ladang sawit di Ulu Medamit.

Menurutnya alat tersebut berfungsi sebagai pemberi amaran di bahagian hadapan pemandu jika ada mana-mana peralatan elektronik dalam sistem jentera mengalami kerosakan atau gagal berfungsi.

Mohd Bukhori memberitahu akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian sekitar RM10,000.