Curi tong gas demi beli susu anak

Curi tong gas demi beli susu anak

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161012_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – “Saya melakukan kesalahan itu kerana anak damit saya yang berusia tiga bulan menangis hendakkan susu. Saya tidak mempunyai wang dan isteri saya ketika itu keluar bekerja.”

Demikian pengakuan seorang bapa kepada empat orang anak dalam rayuannya di Mahkamah Majistret, hari ini, sebaik pertuduhan dalam bahasa Melayu selesai dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Khanol Zukria bin Alias, 31, yang juga penganggur mengaku bersalah mencuri satu tong gas dari sebuah rumah di Kampung Tunggulian, Sungai Liang sekitar jam 5:15 petang pada 28 September 2016.

Tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia menyesal atas perbuatannya dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Dia memohon untuk dijatuhi hukuman denda sahaja memandangkan anak-anaknya masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan selain mempunyai ibu yang sakit yang perlu dibawa ke hospital seminggu sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim mengemukakan pertuduhan di bawah seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Fakta kes menyebut, tertuduh pergi ke Sungai Liang untuk mendapatkan nombor telefon pemilik barang-barang buangan dari seorang lelaki warga India.

Ketika lelaki itu pergi ke bilik tidurnya untuk mendapatkan nombor telefon tersebut, tertuduh mengambil kesempatan pergi ke bahagian dapur dan mencuri tong gas dan meletakkannya di dalam keretanya.

Selepas mendapatkan nombor telefon itu, tertuduh pergi ke kedai dan menjual tong gas itu pada harga $40.

Pada hari yang sama, lelaki itu menyedari tong gas miliknya telah hilang, dan terus membuat laporan polis.

Tertuduh ditangkap pada 6 Oktober apabila kembali semula ke rumah lelaki itu.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman bagaimanapun menetapkan 12 Oktober untuk menjatuhkan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA