Curi tumpuan di IAA ke-66

Curi tumpuan di IAA ke-66

FRANKFURT, 15 Sept (AFP) – Para penggemar dan profesional kereta sedang membanjiri Frankfurt pada minggu ini untuk menyaksikan pameran kereta IAA tatkala industri bangkit daripada krisis berlarutan di Eropah, namun berhati-hati tentang permintaan lembap di China.

Penganjur, persatuan pengeluar kereta Jerman VDA, berkata IAA edisi ke-66 itu menjanjikan 210 pameran perdana dunia dan “pertunjukan inovasi yang menakjubkan” daripada 1,100 peserta dari 39 buah negara.

Acara yang diadakan dua tahun sekali, yang bersilih ganti dengan pameran kereta Paris, diadakan di pameran pesta perdagangan Frankfurt, ruang sebesar saiz 33 padang bola sepak.

Media dunia akan mengadakan pratonton tidak rasmi hari ini dan seterusnya profesional industri akan menyaksikan pameran dua hari itu sebelum ia dibuka kepada orang ramai pada Sabtu.

Selepas mengalami krisis bertahun-tahun lamanya, industri kereta akhirnya mempunyai sesuatu untuk diraikan tatkala permintaan berpulih sekali lagi di Eropah, di mana pendaftaran baru meningkat sebanyak 8.2 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Seorang pekerja mengilap sebuah kereta Ferrari semasa pameran Auto IAA ke-66 di Frankfurt am Main, barat Jerman pada 15 September. Ratusan ribu pengunjung dijangka akan membanjiri dewan pameran besar itu bermula 19 hingga 27 September untuk meninjau model-model terbaru dan inovasi berteknologi tinggi. – AFP
Seorang pekerja mengilap sebuah kereta Ferrari semasa pameran Auto IAA ke-66 di Frankfurt am Main, barat Jerman pada 15 September. Ratusan ribu pengunjung dijangka akan membanjiri dewan pameran besar itu bermula 19 hingga 27 September untuk meninjau model-model terbaru dan inovasi berteknologi tinggi. – AFP

Persatuan Pengeluar Otomobil Eropah ACEA, dijadualkan menerbitkan data baru hari ini, sedang mencatat pertumbuhan sebanyak lima peratus untuk sepanjang tahun.

Namun pertambahan tersebut tidak mencukupi untuk mengembalikan industri kepada jualan tahunan di Eropah sebanyak 16 juta unit yang pernah dilihatnya sebelum krisis 2008-2013 mengurangkan pasaran sebanyak satu perempat.

“Walaupun jika kami bermula dari tahap amat rendah, ia masih menggalakkan untuk melihat pasaran berpulih,” didorong oleh pertumbuhan dua digit di selatan Perancis, kata Stefan Bratzel, pengarah di Pusat untuk Penyelidikan Kereta CAM.

“Masih wujudnya potensi untuk pemulihan diteruskan pada tahun 2016-2017 dan pasaran masih berada dalam keadaan baik pada tahun depan,” kata Flavien Neuvy, pakar kereta di Observatoire Cetelem.

Semasa pameran itu, Volkswagen dijangka akan mengatasi Toyota sebagai pembuat kereta terbesar di dunia tahun ini, menjana 36 peratus penjualannya di China, mendahului pesaing AS iaitu General Motors sebanyak 35 peratus.

Di antara model-model baru yang dipamerkan dalam IAA tahun ini adalah Megane 4 Renault dan Astra 5 Opel yang kedua-duanya bersaing mencari tumpuan. Pembuat kereta Perancis akan mendedahkan versi baru Talismannya, sementara Jerman pembuat kereta Audi akan menampilkan generasi baru A4.

Antara yang mencuri tumpuan juga termasuk Volkswagen dan Ford yang mengetengahkan model-model yang mampu dimiliki seperti Tiguan dan Edge, sementara Jaguar akan memperagakan kereta mewahnya F-Pace dan Bentley model ultra-eksklusifnya, Bentayga.

Manakala Toyota memilih Frankfurt kali ini untuk mendedahkan hibrid generasi keempatnya, Prius dan BMW juga akan memfokuskan pada siri yang sedia ada dengan gabungan enjin petrol dan elektrik.