Curi: Wanita dipenjara 3 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Ibu kepada enam orang anak dijatuhi hukuman tiga bulan penjara kerana melakukan jenayah curi.

Hukuman dijatuhkan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain terhadap Noralizah binti Haji Awang/Haji Aziz, 32, yang mengaku bersalah mencuri jam Garmin, dua dakwat pencetak HD dan kamera mini Fuji Film dari sebuah kedai di The Mall, Gadong pada 27 Disember 2017.

Tertuduh didakwa pergi ke kedai itu untuk mendapatkan harga bagi komputer riba namun memutuskan untuk melakukan curi apabila terlihat barangan itu dipamerkan.

Dia mengambil barangan itu dan menyimpannya ke dalam begnya dan terus keluar dari kedai itu.

Jurujual kedai yang menyedari barangan itu telah hilang, terus memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup dan mendapati perbuatan tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Kamilah binti Awang Mohamad.