Cuti sekolah dimanfaat

Cuti sekolah dimanfaat

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 Sept – Seramai 46 belia, hari ini, menerima sijil masing-masing setelah mengikuti Program Minal Masjid Ilal Masjid selama empat hari, pada majlis penutup yang berlangsung di Masjid Kampung Penanjong, Tutong, pagi tadi.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Program selama empat hari itu diadakan sempena musim cuti sekolah sebagai usaha Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong dalam usaha menerapkan nilai-nilai mencintai masjid dalam kalangan belia.

Selain itu, menerusi aktiviti yang julung-julung kali diadakan para belia diharap mendapat ilmu yang bermanfaat dan menimba pengalaman, dengan adanya program ini, belia-belia juga diharap akan dapat menghasilkan suatu impak yang berbentuk pengetahuan untuk dijadikan sumber di masa akan datang.

Ia melibatkan para belia di kedua-dua buah daerah termasuk 26 orang daripada Kumpulan Belia Masjid Daerah Tutong dan 20 orang pula daripada Kumpulan Belia Masjid Daerah Temburong.

Awang Wardi menyampaikan sijil kepada peserta.
Awang Wardi menyampaikan sijil kepada peserta.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama peserta-peserta Program Minal Masjid Ilal Masjid yang terdiri daripada belia-belia dan pegawai-pegawai masjid Daerah Tutong dan Temburong.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama peserta-peserta Program Minal Masjid Ilal Masjid yang terdiri daripada belia-belia dan pegawai-pegawai masjid Daerah Tutong dan Temburong.

Pemangku Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Awang Jaya bin Haji Yahya semasa menyampaikan ucapan selaku pengerusi program berkenaan, berkata program berkenaan telah bermula pada 7 dan 8 September dengan rombongan Kumpulan Belia Masjid Daerah Tutong berkunjung ke Daerah Temburong.

Semasa di Daerah Temburong, mereka menyertai pelbagai aktiviti seperti melawat kilang proses membuat ambulung di Kampung Batu Apoi, bertadarus di Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar, kuliah maghrib dan mengadakan perlawanan persahabatan futsal antara belia kedua-dua daerah.

Manakala itu, kelmarin dan hari ini, kumpulan belia dan pegawai-pegawai masjid Daerah Temburong berkunjung ke Daerah Tutong dengan mengikuti aktiviti seperti melawat kilang pemprosesan teh herba di Kampung Kiudang dan Badan Kebajikan Saudara-Saudara Baru Kampung Kiudang Mungkom (BASKIM), mengadakan kuliah Maghrib, bertadarus dan seterusnya mendengar taklimat mengenai sejarah penubuhan Masjid Kampung Penanjong.

Awang Mohd Nazmi menjelaskan aktiviti ini juga akan dapat menambahkan pahala dan menyedarkan lagi para belia terhadap pentingnya masjid kepada mereka.
Awang Mohd Nazmi menjelaskan aktiviti ini juga akan dapat menambahkan pahala dan menyedarkan lagi para belia terhadap pentingnya masjid kepada mereka.

Salah seorang peserta dari Kumpulan Belia Masjid Daerah Tutong, Awang Mohd Nazmi bin Masli semasa ditemui berkata program itu amat bermanfaat kepada mereka khususnya belia-belia kerana belia bukan sahaja aktif dalam aktiviti duniawi, malah dalam aktiviti-aktiviti masjid.

Menurutnya lagi mengikuti aktiviti-aktiviti masjid ini bukan sahaja memberikan mereka ilmu yang mendalam tentang agama, bahkan dapat menambah pahala dan menyedarkan lagi para belia terhadap pentingnya masjid kepada mereka.

Melalui program ini juga, mereka dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama belia di luar daerah, serta menyatakan harapan agar program seperti ini diteruskan lagi dan dibukakan kepada belia-belia semasa musim cuti persekolahan.

ARTIKEL YANG SAMA