Cuti sekolah dimanfaat

Cuti sekolah dimanfaat

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 9 Sept – Cuti sekolah bukan bermaksud untuk berehat semata-mata, tapi ia juga memberi ruang kepada para pelajar agar lebih berdikari khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar tahun ini.

Tinjauan Media Permata ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Tutong, baru-baru ini, menyaksikan beberapa orang remaja yang sedang sibuk membuat persiapan bagi peperiksaan besar yang akan mereka hadapi.

Ketika ditemui, kumpulan pelajar Tahun 8 dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong, itu berkata mereka datang ke perpustakaan pada waktu cuti sekolah kali ini untuk membuat kerja rumah di samping dapat mengulang kaji pelajaran bersama.

Menurut mereka lagi, pada musim cuti sekolah ini, banyak kerja rumah telah diberikan namun ia tidak menjadi penghalang dan kesukaran kerana mereka dapat belajar menyelesaikannya secara kerja berkumpulan.

Para pelajar mengambil masa cuti persekolahan mereka dengan membuat kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran bersama-sama.
Para pelajar mengambil masa cuti persekolahan mereka dengan membuat kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran bersama-sama.
Dayang Siti Shaszarina dan Dayang Nur Jamilin Rashidah suka mengikuti aktiviti perpustakaan dan dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru.
Dayang Siti Shaszarina dan Dayang Nur Jamilin Rashidah suka mengikuti aktiviti perpustakaan dan dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru.

Mereka yang baru selesai menghadiri kelas tambahan, terus sahaja pergi ke perpustakaan, agar masa mereka tidak terbuang begitu sahaja.

Dayang Nur Haziyah binti Ariffin, Dayang Nur Azmina binti Mohd Aminoor Rasyid, Dayang Nur Nazrymah binti Abdullah Rudy dan Dayang Nurul Amirah Haziqah binti Mohd ‘Asri Putera berkata mereka lebih gemar belajar berkumpulan dan menyatakan harapan pada tahun ini, mereka akan mendapat keputusan yang memuaskan dalam Peperiksaan Kemajuan Pelajar (SPE) yang akan diduduki bulan depan.

Perpustakaan bukan sahaja menyediakan pelbagai jenis buku, ia juga menyediakan ruang meja kosong sama ada digunakan untuk belajar, membaca atau untuk perbincangan secara berkumpulan bagi membuat kerja sekolah atau penyelidikan.

Apa yang paling penting, perpustakaan merupakan tempat yang menyediakan pelbagai ilmu pengetahuan.

Namun ada sebilangan pengunjung perpustakaan terutamanya kanak-kanak lebih suka datang ke perpustakaan kerana ingin mengikuti aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak DBP.

Dua pelajar yang ditemui, Dayang Siti Shaszarina binti Johari dan Dayang Nur Jamilin Rashidah binti Mohd Nasruddin berkata mereka lebih suka datang ke perpustakaan jika tidak ada apa-apa yang dibuatnya di rumah.

Mereka suka mengikuti aktiviti mewarna, kuiz dan membaca buku selain dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru.

ARTIKEL YANG SAMA