Cuti sekolah peluang terbaik berkhatan

Cuti sekolah peluang terbaik berkhatan

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 11 Dis – Musim cuti penggal akhir persekolahan biasanya diisikan dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, namun bagi sesetengah kanak-kanak lelaki ia merupakan satu mimpi ngeri, kerana bulan inilah biasanya musim berkhatan dijalankan di rumah-rumah sakit.

Menurut salah seorang petugas dari Unit Berkhatan Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM), Temburong, Awang Mohd Kasmadi bin Kadir, pihak hospital kini telah menyediakan perkhidmatan berkhatan secara lebih bersistematik iaitu dengan pendaftaran pesakit melalui sistem BruHIMS dan berfungsi mengikut tarikh temu janji yang dibuat oleh pihak hospital bagi mengelakkan pemohon menunggu giliran lebih lama.

Ia juga lebih efektif untuk mengelakkan pengaruh rasa takut dalam kalangan pemohon yang sedang menantikan giliran mereka lalu membatalkan niat mereka hanya kerana terlalu trauma mendengar suara tangisan kanak-kanak lain.

Beliau juga berkata, sejak kebelakangan ini pihak hospital tidak menghadapi sebarang masalah kerana adanya kerjasama daripada pihak ibu bapa dan pemohon mempunyai perspektif yang lebih positif serta berfikiran terbuka dengan kewajipan ini berbanding dulu.

Kanak-kanak bersama penjaga mereka ketika menunggu giliran berkhatan.
Kanak-kanak bersama penjaga mereka ketika menunggu giliran berkhatan.

Perkhidmatan berkhatan dilakukan dalam dua kumpulan bermula pada 23 November hingga 12 Disember 2015 ini, dari waktu pagi hingga petang, dengan anggaran 12 orang kanak-kanak sehari. Setakat ini, Hospital PIHM mencatat kira-kira 65 pemohon telah berjaya melalui musim berkhatan kali ini.

Menurut Mazhab Syafi’e, berkhatan merupakan satu kewajiban bagi seorang lelaki kerana ia berkaitan dengan ‘toharah’ (penyucian), sepertimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dikhatankan sewaktu masih kecil lagi.

Berkhatan bagi lelaki sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh atau hari ke-40 ia dilahirkan, selain dilakukan ketika umur mencapai 7 tahun sehingga akil baligh. Diwajibkan bertayamum jika kanak-kanak lelaki meninggal dalam keadaan yang tidak berkhatan atau bersunat.

Dari sudut kesihatan pula, menurut kajian yang dilakukan oleh pihak WHO dan Joint United Nations Programme on HIV/AIDS (UNAIDS), berkhatan memberikan perlindungan 60 peratus daripada terkena jangkitan HIV dan seorang lelaki yang tidak berkhatan mempunyai risiko mendapat jangkitan kuman HIV empat kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang berkhatan.

ARTIKEL YANG SAMA