Cuti umum Iceland perlu ditukar

Cuti umum Iceland perlu ditukar

UEFA-Euro-2016-Logo

PARIS, 23 Jun (AFP) – Penolong pengurus bola sepak kebangsaan Iceland, Heimir Hallgrimsson sempat berjenaka mencadangkan cuti umum hari kebangsaan negaranya wajar diubah kepada Rabu (22 Jun) sempena kejayaan bermakna mereka menewaskan Austria 2-1 dalam kempen Euro 2016 pagi tadi.

Iceland, dengan hanya memiliki penduduk 330,000, adalah negara kecil di Eropah dan kini bakal bertemu England pada peringkat kalah mati kejohanan berkenaan di Nice, Isnin ini.

“Saya agak cuti umum hari kebangsaan negara kami mungkin diubah selepas ini. Biasanya ia cuti pada 17 Jun setiap tahun tetapi mungkin kerajaan akan mengubahnya.

“Keputusan tadi sangat bermakna buat kami,” kata Hallgrimsson, sambil merujuk kepada cuti umum Hari Kebangsaan Iceland yang merdeka daripada Denmark pada 1944.

“Kami tidak gentar bertemu England. Kami sedang berseronok dengan kemenangan ini dan ada dua hari untuk membuat persiapan rapi.

“Iceland tahu semua corak permainan England, kami ada peminat tegar bola sepak mereka. Saya tidak fikir kami perlu melakukan banyak analisis ke atas mereka, kami faham benar pasukan mereka, tetapi kami sedar banyak ancaman daripada mereka nanti,’’ kata Hallgrimsson.

Sementara itu, bos pasukan Austria, Marcel Koller memandang sudut positif selepas keputusan berkenaan sambil mengakui penampilan mereka wajar dihargai.

“Ada orang terlupa bahawa kami buat pertama kali layak ke pusingan akhir Euro ini.” katanya.

Austria pernah mengecapi ke pusingan akhir Euro pada 2008 selaku tuan rumah bersama ketika itu.

“Kami tidak boleh berpuas hati dengan keputusan itu, tetapi jika mengambil kira perkembangan dan kemajuan yang dicapai, kita boleh berbangga dengannya.

“Sudah pasti ia mengecewakan pemain, staf, barisan jurulatih tetapi saya rasa kami mendapat banyak pengalaman,” katanya.

Dia juga enggan menuding jari ke arah Aleksandar Dragovic, yang terlepas penalti separuh masa.

“Saya memilih dua pengambil sepakan penalti, David (Alaba) dan Dragovic. Mereka setuju di atas padang dengan keputusan itu. Tidak wajar menyalahkan sesiapa,’’ katanya.