Cyberjaya kedua di Sedenak

Cyberjaya kedua di Sedenak

JOHOR BAHARU 8 Feb – Johor bercadang membangunkan hab data global di kawasan seluas 20,234 hektar di Wilayah Iskandar Malaysia, menjadikannya Cyberjaya kedua di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain itu, kerajaan negeri juga mengenal pasti beberapa kawasan untuk pelbagai industri lain di Sedenak dan kawasan berhampiran.

“Perkara ini masih di peringkat perbincangan. Pihak kerajaan bercadang mengumumkan pembangunan ini secara rasmi pada pertengahan tahun ini, sama ada bulan Jun atau Julai.

“Kita sudah kenal pasti dalam 50,000 ekar (20,234 hektar) tanah di sini, kita akan letak zoning sebagai kawasan berpotensi sebagai kawasan Cyberjaya Johor Baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina, di Wisma Tiong Hua, di sini Isnin.

Beliau berkata pembangunan di kawasan itu akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan khususnya bagi pekerja berasaskan pengetahuan dan dilihat mampu menarik minat pelabur tempatan dan asing.

“Setakat ini sudah ada pelabur yang berminat untuk menyertai projek pelaburan di kawasan ini, sekali gus menjadikannya pusat gabungan pelbagai teknologi dan industri,” kata beliau. – Bernama