CyrilE dipenjara seumur hidup

CyrilE dipenjara seumur hidup

Oleh Rafidah Jumat

 

pg01_150708_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Mahkamah Tinggi memutuskan untuk menjatuhkan hukuman seumur hidup ke atas seorang lelaki Filipina kerana membunuh seorang lelaki tempatan pada 2012.

Keputusan dibuat Hakim Dato Paduka Steven Chong selepas mempertimbangkan bentuk hukuman yang akan dilaksanakan. Pada Khamis lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas defendan.

Cyrile Navarro Tagapan, 31, terdahulu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh namun hanya mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan lain iaitu mencuri dan menyebabkan kerosakan pada harta benda mangsa dengan membakar sebahagian dari rumahnya.

Tertuduh dijatuhi penjara seumur hidup bagi pertuduhan menyebabkan kerosakan pada harta benda mangsa dengan membakar sebahagian dari rumahnya sementara untuk dua pertuduhan mencuri, tertuduh dijatuhi hukuman penjara, masing-masing 12 dan 8 bulan.

Hakim memerintahkan hukuman dijalankan serentak.

Tertuduh didakwa membunuh Abdullah bin Haji Hamid, 61, pada 1 Ogos 2012 di mana mayatnya ditemui di rumahnya di Kampung Rimba pada 9 Ogos 2012.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu trak untuk sebuah syarikat tempatan sejak 2012 telah mengenali mangsa sejak 2010.

Apabila tertuduh memerlukan bantuan kewangan, dia akan pergi ke rumah mangsa yang menawarkan kepadanya bagi pembayaran perkhidmatan seks.

Pada malam kejadian, tertuduh berkunjung ke rumah mangsa untuk memberitahu perbuatan yang mereka lakukan adalah salah tambahan lagi, tertuduh sudah berkahwin.

Mangsa kemudian membaling objek keras terhadap tertuduh dan turut mengambil pisau untuk menikam tertuduh, bagaimanapun tertuduh dapat mengatasi mangsa.

Selepas menikam mangsa, tertuduh keluar untuk mendapatkan minyak tanah dan membakar sebahagian dari rumah itu untuk memusnahkan bahan bukti.

Mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarga beberapa hari selepas kejadian.

Kes dikendalikan oleh Pengiran Nina Jasmine binti Pengiran Laila Kanun Di Raja Pengiran Haji Bahrin dan Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Ahmad Zakaria.

ARTIKEL YANG SAMA