Czech layak, Wales terpaksa menunggu

Czech layak, Wales terpaksa menunggu

RIGA, Latvia, 7 Sept (AFP) – Republik Czech mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2016 selepas menewaskan Latvia 2-1 sementara Wales terpaksa menunggu sebelum dapat mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Israel di Stadium Cardiff City, di sini, semalam.

Kejayaan itu susulan daripada kemenangan mengejutkan Turki ke atas Belanda, 3-0, di di laman sendiri pada saingan Kumpulan A.

David Limbersky dan Vladimir Darida memastikan kemenangan menjadi milik pasukan mereka, buat meletakkan Republik Czech mengutip mata penuh dan menjadi pendahulu kumpulan, meskipun tuan rumah cuba merapatkan kedudukan menerusi Arturs Zjuzins.

Republik Czech adalah finalis kejohanan pada 1996.

Sebelum ini, England menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan akhir bersama tuan rumah, Perancis, selepas memenangi semua lapan aksi kelayakan.

Wales memerlukan kemenangan pada perlawanan itu untuk mara ke kejohanan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 1958.

Mereka yang ketika ini tidak pernah tewas dalam saingan peringkat Kumpulan B, dalam aksi awal pagi itu mendominasi permainan namun tidak mampu membolosi benteng Israel yang dikawal rapi oleh Ofir Marciano.

Bagaimanapun, Wales hanya memerlukan satu lagi mata selepas Belgium menewaskan Cyprus, 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan sama.