D.O.A semarakkan kesukarelawanan

D.O.A semarakkan kesukarelawanan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Semangat kesukarelawanan dalam masyarakat khususnya kalangan belia akan diketengahkan melalui acara penuh bermakna dan simbolik Day Of Action (D.O.A), yang bakal diadakan buat kali pertama secara besar-besaran di keempat-keempat daerah di Negara Brunei Darussalam pada 10 Januari nanti.

Walaupun perasmian acara D.O.A akan diadakan pada 10 Januari nanti, namun kegiatan-kegiatan kesukarelawanan tidak hanya terhad pada hari itu dengan pelbagai acara kebajikan dan kesukarelawanan akan turut diadakan sepanjang tahun, melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dengan menekankan matlamat yang satu iaitu untuk mengumpulkan masyarakat Brunei bagi sama-sama memainkan peranan untuk mengembangkan semangat kesukarelawanan.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman dalam sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah wakil-wakil daripada persatuan bukan kerajaan yang akan sama-sama menjayakan acara D.O.A termasuk Pegawai Belia dan Sukan, Awang Muhammad Amirul Syazmie bin Ibrahim, yang juga Pengurus Bersama D.O.A., wakil daripada Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB), Dayang Fatin Arifin, wakil dari Majlis Belia Brunei (MBB), Dayang Khairunnisa Ash’ari dan Awang Iqbal Damit.

Program D.O.A, merupakan acara anjuran KKBS, melalui Jabatan Belia dan Sukan, yang akan melibatkan penyertaan sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan bersempena dengan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang lazimnya disambut pada setiap 5 Disember.

(Dari kanan) Dayang Fatin, Dayang Khairunnisa, Hajah Noor Maslina, Awang Muhammad Amirul Syazmie dan Awang Iqbal semasa sidang media mengenai D.O.A yang diadakan di Jabatan Belia dan Sukan, kelmarin.
(Dari kanan) Dayang Fatin, Dayang Khairunnisa, Hajah Noor Maslina, Awang Muhammad Amirul Syazmie dan Awang Iqbal semasa sidang media mengenai D.O.A yang diadakan di Jabatan Belia dan Sukan, kelmarin.

Menyentuh mengenai idea mengadakan acara atau program D.O.A, Awang Muhammad Amirul Syazmie berkata ia lahir daripada perbincangan dalam kalangan belia dari pelbagai badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam pelbagai kegiatan kebajikan, amal dan yang penting sekali, kesukarelawanan.

Beliau berkata bahawa sering kali, orang ramai kurang mengetahui mengenai cara bagi mereka untuk menyumbang khidmat bakti atau menjadi sukarelawan dalam kegiatan-kegiatan kebajikan, kemasyarakatan atau amal.

Oleh itu, dengan adanya program atau acara D.O.A, ia akan memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terutama golongan belia mengenai pelbagai peluang yang ada untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawanan dengan pelbagai badan kerajaan atau bukan kerajaan.

Melalui D.O.A, bukan sahaja golongan belia boleh menyumbangkan khidmat bakti dan masa mereka kepada kerja-kerja sukarela tetapi ia juga mampu untuk membantu golongan yang memerlukan serta melibatkan penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat.

Hajah Noor Maslina dalam sidang media itu, berkata bahawa D.O.A bertindak sebagai platform bagi mengumpulkan masyarakat Brunei dalam usaha mengembangkan lagi semangat kesukarelawanan serta akan menjadi simbol kepada perpaduan dan usaha-usaha pelbagai lapisan masyarakat untuk bergerak ke arah perubahan dengan menggunakan pendekatan bergotong-royong.

Program D.O.A merupakan kali pertama diadakan di Brunei bagi meraikan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa dan juga merupakan kali pertama acara besar-besaran kesukarelawanan diadakan di keempat-empat daerah di mana ia bukan sahaja melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan bukan kerajaan tetapi juga menggalakkan penyertaan sukarela masyarakat awam dengan kegiatan mereka dipromosikan melalui media sosial menggunakan kempen #DayofActionBN.

Ia dijadual dirasmikan dalam majlis yang diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pada 10 Januari ini.

Agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang bakal terlibat dalam kegiatan itu adalah Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Pejabat Daerah Belait, Pejabat Daerah Tutong, Pejabat Daerah Temburong, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), cawangan-cawangan Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rimba, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Majlis Belia Brunei, Majlis AIDS Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Persatuan KESAN, Chevening Alumni, Adison Marketing Services, BorneoGuide, Green Brunei, Green Leaders Camp Alumni, Alumni Singapore-Brunei Youth Leadership Exchange Programme, SCOT, BANTU, YEAB, SUKA, Politeknik Brunei, Belia Masjid Ash-Shaliheen dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Acara itu dijangka akan disertai oleh kira-kira 500 hingga 1,000 orang belia di keempat-empat daerah dengan pelbagai kegiatan akan diadakan termasuk Soup Kitchen, membersihkan masjid, membersihkan dan membaik pulih rumah, membersihkan pantai, projek kitar semula, projek derma atau wakaf serta pelbagai lagi acara-acara kesukarelawanan.

Menurut Hajah Noor Maslina, kerja atau projek kesukarelawanan itu nanti tidak hanya menumpu kepada kerja-kerja menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tetapi juga kegiatan seperti mengadakan bengkel atau projek yang menghulurkan khidmat kemahiran, ilmu pengetahuan, bakat dan waktu bagi mengembangkan kebolehan golongan muda.

Di samping itu, melalui program itu, para wakil belia badan-badan bukan kerajaan berkata buat kali pertama penglibatan dan kegiatan yang dilaksanakan oleh para sukarelawan akan menjadi pemangkin untuk membakar semangat kesukarelawanan dalam kalangan mereka dan juga memberikan peluang kepada para sukarelawan untuk mengembangkan lagi rangkaian hubungan serta pengalaman masing-masing.

Mereka percaya dengan memberikan tumpuan kepada tindakan secara kecil-kecilan, ia mampu untuk menghasilkan impak yang besar iaitu untuk memberikan anjakan yang besar semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, melalui kegiatan yang dijalankan juga, diharap ia akan mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat dan untuk memberikan pendedahan kepada isu-isu berkenaan supaya tindakan yang wajar atau bersesuaian dapat dilaksanakan bagi menanganinya.

Dalam hubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menjayakan acara penuh bermakna berkenaan yang mana pendaftaran sebagai sukarela masih lagi terbuka sehingga 9 Januari.

Mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Day Of Action boleh melayari, bit.do/DayofActionBN atau melalui e-mel ke alamat dayofaction@gmail.com atau menghubungi Dayang Khairunnisa di talian, 8626588.

ARTIKEL YANG SAMA