Dadah: 10 bersaudara diberkas

Dadah: 10 bersaudara diberkas

pg01_151008_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Sepuluh orang belia tempatan, termasuk tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia dalam lingkungan 20 hingga 28 tahun yang mempunyai talian keluarga, telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di dalam bilik penginapan (hotel) di Kampung Jerudong dan sebuah rumah di Kampung Jangsak dalam operasi tangkas Biro Kawalan Narkotik (BKN), baru-baru ini.

Menurut kenyataan BKN di sini hari ini, hasil pemeriksaan yang dijalankan di bilik hotel berkenaan, beberapa ketulan paket daun-daun kering yang disyaki dadah jenis ganja telah berjaya dirampas yang mempunyai berat kasar 963.14 gram.

Turut ditemui dalam pemeriksaan itu termasuk beberapa paket pil yang disyaki dadah terkawal dengan jenama yang berlainan seperti Erimin 5 dan Ecstacy MDMA, alat timbangan digital, beberapa paket plastik jernih kosong dan alat-alat yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah serta wang tunai berjumlah $2,208 dan RM637 yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah tersebut.

BKN dalam kenyataannya memberitahu, kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, Seksyen 6(a) iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal, Seksyen 6(b) bagi kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 7 bagi kesalahan memiliki alat perkakas untuk menghisap dadah dan jika didapati bersalah di bawah Seksyen 3A iaitu memiliki dadah ganja bagi tujuan mengedar dengan jumlah berat tersebut boleh membawa hukuman mati.

Sehubungan itu, BKN turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti atau kegiatan berhubung penyalahgunaan dadah. Setiap kesalahan yang menyalahi undang-undang yang diperuntukkan akan dijatuhi hukuman.

Pihak BKN juga mengharapkan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan memata-matai serta bertindak pantas dalam melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan.

BKN juga mengingatkan dan menyarankan kepada para ibu bapa agar mengawasi aktiviti dan keberadaan anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah walaupun anak-anak mereka ada bersama dengan orang-orang yang dipercayai seperti saudara mara sendiri.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kegiatan dadah bolehlah menghubungi terus talian 2448877 (pada waktu pejabat) atau talian hotline 8777444.

ARTIKEL YANG SAMA