Dadah: 9 diberkas BKN

Dadah: 9 diberkas BKN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Sembilan orang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal telah berjaya ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Operasi Taat Setia 04/2016, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKN, di sini, hari ini, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh orang lelaki dan dua orang perempuan dalam lingkungan umur 17 tahun hingga 55 tahun. Operasi yang dijalankan oleh BKN itu adalah sebagai salah satu langkah pencegahan dan bagi memantau sebarang kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal di Brunei.

BKN berkata, operasi tersebut menumpukan kepada beberapa buah kawasan yang dikenal pasti di kawasan Bandar Seri Begawan, Gadong dan Berakas.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas tiga orang belia iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan serta kenderaan mereka berhampiran dengan stadium gelanggang tenis, Berakas, BKN telah berjaya menjumpai satu paket plastik jernih mengandungi pecahan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu dengan berat kasar 54 gram dan sejumlah wang tunai yang disyaki hasil daripada kegiatan jenayah dadah.

Ketiga-tiga yang ditangkap itu, akan disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar dan Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan memakan dadah terkawal.

Wang tunai yang ditemui semasa Operasi Taat Setia 04/2016, baru-baru ini.
Wang tunai yang ditemui semasa Operasi Taat Setia 04/2016, baru-baru ini.
Paket plastik jernih mengandungi pecahan kristal, dipercayai dadah jenis syabu yang dirampas.
Paket plastik jernih mengandungi pecahan kristal, dipercayai dadah jenis syabu yang dirampas.

Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 3A akta tersebut, hukuman minima penjara selama 20 tahun dan 15 kali sebatan, manakala hukuman maksima penjara selama 30 tahun dan 15 kali sebatan. Jika berat dadah syabu melebihi daripada 100 gram, maka hukumannya adalah gantung hingga mati.

Pada masa yang sama, BKN juga telah menahan tiga orang lelaki di kawasan Bandar Seri Begawan.

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, BKN telah menjumpai senjata berupa belantan dan knuckle duster yang dimiliki oleh dua orang lelaki yang ditahan berumur 17 tahun. Kedua-dua tahanan tersebut telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Brunei untuk penyiasatan lanjut bagi kes memiliki senjata.

Manakala itu, seorang daripada tiga orang lelaki itu telah didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah. Sehubungan itu, BKN mengingatkan kepada ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka dan sentiasa mengambil perhatian ke atas kegiatan anak dan rakan-rakan mereka supaya tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah ataupun jenayah-jenayah lain.

Pada masa yang sama, BKN juga menasihatkan semua lapisan masyarakat terutama sekali golongan belia untuk lebih berhati-hati dalam memilih kawan dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menjejaskan masa depan diri sendiri.

BKN juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas segala maklumat yang telah diberikan dan seterusnya mengalu-alukan kerjasama yang berpanjangan daripada orang ramai dengan menyampaikan maklumat berhubung kait dengan kegiatan penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat) dan hotline 8777444 (selepas waktu pejabat).

ARTIKEL YANG SAMA