Dadah bernilai RM1.4 juta dirampas

Dadah bernilai RM1.4 juta dirampas

KUCHING, 24 Mac (Bernama) – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Daerah Kuching merampas dadah bernilai kira-kira RM1.4 juta semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aziz Yussof berkata serbuan dilakukan di sebuah rumah di kawasan perumahan di Jalan Lapangan Terbang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan, polis berjaya merampas pil ekstasi sebanyak 18,806 biji seberat 5.284 kilogram dan ketulan syabu seberat 1.028 kilogram yang dianggar bernilai RM1.420 juta.

“Ia merupakan rampasan terbesar pernah dibuat di Sarawak sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang media hari ini. Beliau berkata pihak polis turut menangkap seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia 46 dan 25 tahun. Kedua-dua suspek kini direman tujuh tujuh hari.

Aziz berkata suspek lelaki mempunyai lima kes lampau sejak tahun 2010 berkaitan penyalahgunaan dadah dan pernah dipenjara enam bulan dan ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Jenayah.

“Hubungan suspek merupakan rakannya dan dadah berkenaan dipercayai dihantar melalui bungkusan dari Semenanjung untuk edaran di pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata turut disita ialah tiga buah kereta model Harrier, KIA dan Mercedes Benz, barang kemas dan jam tangan jenama Rolex dianggarkan bernilai RM235,000.