Dadah semakin menular di pedalaman Sarawak

Dadah semakin menular di pedalaman Sarawak

KUCHING, 1 Nov (Bernama) – Pekan Belaga, kira-kira 150km dari bandar minyak Bintulu sedang berhadapan dengan masalah penyalahgunaan dadah yang memerlukan pihak berkuasa menggiatkan tindakan-tindakan penguatkuasaan di pekan pedalaman itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang berkata masalah penyalahgunaan dadah perlu dibendung dengan segera agar ia tidak menular lebih teruk di kawasan-kawasan pedalaman seperti mana yang berlaku di daerah Belaga ketika ini.

“Pihak berkuasa perlu menggiatkan tugas-tugas penguatkuasaan dalam usaha menggempur gejala penyalahgunaan dadah, dan melancarkan operasi membanteras pengedar serta penagih dadah di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak, di sini hari ini.

Beliau dipetik berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis ConnectingThe Unconnected di Uma Sambop, Belaga, anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, semalam.