Daerah Brunei & Muara, Tutong bertemu di final Tarik Kalat Tradisi

Daerah Brunei & Muara, Tutong bertemu di final Tarik Kalat Tradisi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Pusingan separuh akhir Kejohanan Tarik Kalat Tradisi sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 telah berlangsung di Padang Haji Sir Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Tiga kategori yang dipertandingkan itu disertai empat pasukan dari setiap daerah dan menyaksikan pasukan dari Daerah Temburong mendapat 3.75 mata untuk muncul juara Kategori A, pasukan dari Daerah Brunei Muara naib juara dan Daerah Belait mendapat tempat ketiga.

Kategori B pula dimenangi oleh pasukan dari Daerah Brunei Muara, tempat kedua dimenangi oleh pasukan dari Daerah Tutong dan pasukan dari Daerah Belait mendapat tempat ketiga.

Kategori C dijuarai oleh pasukan dari Daerah Brunei Muara, tempat kedua dimenangi oleh pasukan dari Daerah Tutong dan tempat ketiga dimenangi pasukan dari Daerah Belait.

Dengan keputusan ini, Daerah Brunei dan Muara akan menentang pasukan dari Daerah Tutong pada pusingan akhir 22 Ogos di Kuala Belait ketika Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan.

Peserta dari Daerah Tutong sedang berentap dalam acara tarik kalat semalam.
Peserta dari Daerah Tutong sedang berentap dalam acara tarik kalat semalam.