Daerah mengundi baharu diwujudkan di Sabah

Daerah mengundi baharu diwujudkan di Sabah

KOTA KINABALU, 16 Feb – Beberapa daerah mengundi baharu diwujudkan di Sabah bagi memudahkan pengurusan pilihan raya dan pendaftaran pemilih.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR telah membuat semakan semula ke atas daerah-daerah mengundi di negeri ini, berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada 26 Nov 2014.

“Terdapat juga lokaliti yang telah diperbetulkan kedudukannya mengikut lokasi sebenar di lapangan dengan menggunakan aplikasi Sistem Maklumat Geografi terkini.

“Keputusan semakan semula daerah-daerah mengundi di Sabah itu telah diwartakan dalam Notis Mengenal Daerah Mengundi dan Pusat Mengundi Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Bagi Negeri Sabah oleh SPR pada 12 Feb 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata pengundi berdaftar di negeri ini boleh membuat pemeriksaan daerah dan pusat mengundi masing-masing, mulai esok (17 Feb) hingga 1 Mac. – Bernama