Daerah Tutong sedia bagi Junjung Ziarah

Daerah Tutong sedia bagi Junjung Ziarah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 14 Julai – Lebih 400 orang peserta akan menyertai persembahan pentas khas bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong bersempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun bagi Daerah Tutong yang akan diadakan pada 19 Julai depan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Sehubungan itu, latihan penuh bagi persembahan bertema ‘Raja Perkasa, Negara Berjaya, Rakyat Sejahtera’ itu telah diadakan hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Setiausaha Persembahan Khas bagi daerah ini, Awang Abdul Ajees bin Haji Hamdan memberitahu bahawa para peserta persembahan khas berkenaan terdiri daripada ahli-ahli pelbagai puak dan masyarakat Daerah Tutong serta para penuntut sekolah antaranya dari Sekolah Menengah Muda Hashim, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Sekolah Chung Hwa Tutong, dan Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Bukit Beruang.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkesempatan beramah mesra bersama peserta-peserta persembahan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkesempatan beramah mesra bersama peserta-peserta persembahan.

Mengenai latihan persembahan pula, beliau memberitahu, mereka sudah pun membuat latihan sebelum bulan Ramadan lagi dan bercuti selama sebulan ketika umat Islam menjalani ibadah puasa dan latihan disambung semula pada 11 Julai hingga masa ini yang mana sebanyak 18 latihan dijalankan.

Dalam kesempatan itu, beliau selaku wakil ahli jawatankuasa persembahan Pentas Khas di Daerah Tutong menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada jurulatih-jurulatih yang terdiri daripada penari-penari khas dan jurulatih dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga gabungan daripada Badan-badan Promosi dan Pelancongan Daerah Tutong dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA