Daerah Tutong turut meriahkan Hari Keputeraan

Daerah Tutong turut meriahkan Hari Keputeraan

Oleh Normalina M.D

 

TUTONG, 15 Julai – Bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun, Daerah Tutong tidak ketinggalan mengadakan perayaan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Semasa tinjauan Media Permata di kawasan tersebut, beberapa peniaga kecil di Daerah Tutong yang ikut serta kelihatan bersiap awal bagi menyediakan barang-barangan mereka untuk dijual.

Menurut Dayang Nuraini binti Mohammad dari Kampung Kupang yang menyertai gerai perayaan tersebut, hanya pada musim perayaan sahajalah beliau mempunyai masa untuk ikut serta dengan hanya menjual belon dan pakaian.

Beliau yang sudahpun lebih 10 kali mengikuti gerai perayaan di Daerah Tutong menjelaskan tidak ada banyak perubahan dalam gerai perayaan tahun ini dan beliau berharap lebih ramai pengunjung datang ke Gerai Perayaan Daerah Tutong.

Beliau juga berharap Polis Diraja Brunei akan dapat meninjau dan melihat sekitar gerai perayaan selepas jam 12 tengah malam kerana barang-barang kepunyaan para penjual seperti kerusi dan barang-barang jualan hilang hampir setiap tahun.

Dayang Nuraini dan anak-anak menjual belon dan pakaian di Gerai Perayaan Daerah Tutong.
Dayang Nuraini dan anak-anak menjual belon dan pakaian di Gerai Perayaan Daerah Tutong.
Ending Sukardi dan teman sekerja beliau dari Restoran HHR datang awal untuk menyediakan barang-barang yang dijual.
Ending Sukardi dan teman sekerja beliau dari Restoran HHR datang awal untuk menyediakan barang-barang yang dijual.

Ketika ditanya mengenai keuntungan menjual belon, beliau berkata amat beruntung kerana perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan, lebih-lebih dalam kalangan kanak-kanak.

Sementara salah seorang pekerja Restoran HHR yang ikut serta berjual di gerai perayaan, Ending Sukardi dan teman-teman menjelaskan kehadiran para pengunjung di gerai perayaan ini dapat dilihat daripada persembahan yang dianjurkan. Jika persembahannya menarik, ramai pengunjung datang dan banyak hasil yang mereka dapat.

Ending Sukardi yang berpengalaman bekerja di Restoran HHR selama enam tahun menjelaskan penduduk Negara Brunei Darussalam amat beruntung kerana mempunyai seorang Raja yang sangat prihatin kepada rakyatnya, dan kini rakyat dan penduduknya menyambut Hari Keputeraan dengan mengadakan malam perayaan.

Beliau yang berada di negara ini juga merasa sangat beruntung kerana dapat merasa keamanan dan kegembiraan menyambut Hari Keputeraan Baginda Sultan. Beliau dalam kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kepada Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan mendoakan agar Baginda sentiasa dilindungi Allah S.W.T dan kekal karar memerintah negara.

Orang ramai dialu-alukan berkunjung ke Gerai Perayaan Daerah Tutong sehingga 31 Julai ini, bagi sama-sama memberikan sokongan dan memeriahkan lagi suasana Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan bagi Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA